Mutasi virus, kawasan padat punca PKPD Aman Jaya, kata KP Kesihatan


Ravin Palanisamy

Ia susulan penilaian risiko ke atas kluster Tawar mendapati taburan kes positif Covid-19 tidak tertumpu di suatu lokaliti, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Ogos, 2020.

AMAN Jaya di Kedah diletakkan bawah Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD) selepas penilaian risiko ke atas kluster Tawar mendapati taburan kes positif Covid-19 tidak tertumpu di satu lokaliti, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Selain itu, kluster Tawar dan kluster Sivagangga, yang mana kedua-duanya di Kedah, kemungkinan besar dari sumber yang sama, tambah beliau.

Katanya, hasil kajian virologi  Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), kluster Tawar dan Sivagangga  didapati mempunyai mutasi yang sama iaitu D614G, yang mempunyai kebolehjangkitan yang tinggi. 

Penilaian risiko juga mendapati kluster Tawar antara lain menular di kawasan penempatan yang agak padat dan akibat pergerakan penduduk yang banyak.

Justeru, Dr Noor Hisham berkata penguatkuasaan PKPD di tiga zon di Aman Jaya diharapkan dapat membendung penularan virus Covid-19.

Awal hari ini, Menteri Kanan Ismail Sabri mengumumkan tiga zon di Aman Jaya iaitu Melur, Mawar dan Kenanga diletakkan bawah PKPD berkuat kuasa tengah malam ini susulan lonjakan kes Covid-19.

Ismail Sabri berkata seramai 22,360  penduduk di tiga zon berkenaan akan disaring oleh petugas KKM.

Tiada kes baharu dari kluster Tawar dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes setakat ini 73. Di Kedah sahaja, sebanyak 63 kes dari kluster itu dikesan, manakala selebihnya di Pulau Pinang.

Selain itu, Dr Noor Hisham turut berkata kebolehjangkitan virus atau R naught (R0) yang dilaporkan semalam adalah 0.74 berbanding 0.58 pada 4 Ogos.

KKM katanya sentiasa berusaha untuk mengurangkan R0 kepada kurang daripada 1 secara berterusan untuk membantu memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di Malaysia.  – 27 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen