WALAUPUN 21 daripada 73 kes keseluruhan Covid-19 dari kluster Tawar adalah kanak-kanak, tiada seorang pun yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU), kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.
Beliau berkata kesemua 21 pesakit terbabit dijaga dengan rapi dan keadaan mereka terkawal.
“Buat masa ini kita tahu 21 kanak-kanak positif daripada 73 kes namun tiada yang dimasukkan ke unit rawatan rapi untuk rawatan.
“Dari segi kerentanan mereka kepada jangkitan, memang tidak keraguan untuk itu dari segi jangkitan atau tahap teruk jangkitan, mereka masih dirawat di hospital.
“Kami sedang memantau mereka dengan lebih dekat. Kami harap mereka mampu pulih daripada jangkitan,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
21 kanak-kanak dari kluster Tawar adalah berusia 18 tahun ke bawah.
Noor Hisham berkata berdasarkan jumlah kematian di negara ini, tiada lagi kanak-kanak yang maut akibat jangkitan.
Terdahulu beliau berkata tiada kes baharu dilaporkan dalam kluster Tawar dalam tempoh 24 jam lalu.
Beliau turut berharap langkah untuk mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di Aman Jaya, Kedah bermula tengah malam ini mampu mengekang penularan wabak itu dari kluster Tawar. – 27 Ogos, 2020.
Komen