TIADA kes baharu Covid-19 bagi kluster Tawar dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kes direkodkan kluster itu setakat ini kekal 73, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Bagaimanapun, lima kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam yang lalu, menjadikan jumlah keseluruhan kes kini 9,296.
Dr Noor Hisham berkata tiga daripadanya membabitkan penularan tempatan dalam kalangan warga Malaysia di Melaka
“Dua kes dikesan melalui saringan pra pembedahan, dan satu kes saringan bergejala, kesemuanya di Hospital Angkatan Tentera Kem Terendak,” katanya pada sidang media hari ini.
Ketiga-tiga kes berkenaan bagaimanapun, tidak kategorikan sebagai kluster baharu.
Dua lagi kes baharu yang dikesan adalah kes import membabitkan jangkitan dari Filipina dan Mesir. Kedua-dua kes ini dilaporkan di Selangor, tambah Dr Noor Hisham.
Selain itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 177 kes.
Seramai 16 pesakit sembuh hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan sehingga kini 8,994.
Setakat hari ini juga terdapat lapan kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi, di mana enam kes memerlukan bantuan pernafasan.
Dr Noor Hisham juga berkata tiada kes kematian dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kematian kekal 125 orang. – 27 Ogos, 2020.

Komen