Wong Kah Woh pengerusi baharu PAC


Diyana Ibrahim

Ahli Parlimen Ipoh Timur Wong Kah Woh menggantikan Noraini Ahmad yang kini menteri pengajian tinggi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Ogos, 2020.

AHLI Parlimen Ipoh Timur Wong Kah Woh dilantik sebagai pengerusi baharu Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi menggantikan Noraini Ahmad yang kini menteri pengajian tinggi.

Manakala Ahli Parlimen Beaufort Azizah Mohd Dun dilantik jadi naib pengerusi, yang sebelum ini disandang Wong.

Usul dibacakan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat hari ini.

“Mengikut peruntukan Mesyuarat 77 (2), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, saya mengemukakan usul bahawa Ahli Parlimen Ipoh Timur Wong Kah Woh dipilih bagi menggantikan Yang Berhormat Ahli Parlimen Parit Sulong Dr Noraini Ahmad sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara.

“Ahli Parlimen Beaufort Azizah Mohamad Dun dipilih menggantikan YB Wong Kah Woh sebagai naib pengerusi,” kata Takiyuddin pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Pelantikan pembangkang sebagai pengerusi PAC merupakan usaha yang dibawa ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Ia juga terkandung dalam Janji ke-16 manifesto PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) iaitu jawatan pengerusi PAC dikhususkan kepada ahli Parlimen pembangkang sebagai usaha pembaharuan Parlimen.

Usul itu diluluskan selepas mendapat sokongan sebulat suara ahli-ahli Parlimen.

Terdahulu Dewan Rakyat menangguhkan usul Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan 2020.

Penangguhan itu dibacakan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Ismail Mohamed Said. Ismail  berkata usul tersebut akan dibawa pada sidang akan datang.

RUU yang bermatlamat untuk memantau tindakan polis itu sepatutnya akan dibaca kali untuk kedua di Dewan Rakyat hari ini.

RUU itu dibentangkan bagi menggantikan RUU Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) yang ditarik balik semalam. – 27 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen