Bekas menteri nasihatkan Zafrul berhenti main politik


Alfian Z.M. Tahir

DR Xavier Jayakumar berkata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz sepatutnya lebih memberi perhatian kepada hal berkaitan ekonomi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Ogos, 2020.

DR Xavier Jayakumar mengingatkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz agar berhati-hati ketika cuba bermain politik.

Bekas menteri air, tanah dan sumber asli itu berkata daripada cuba bermain politik, Tengku Zafrul sepatutnya lebih memberi perhatian kepada hal berkaitan ekonomi.

“Penting bagi Zafrul ketika beliau cuba untuk bermain politik, beliau masih baru dan berasal daripada latar belakang korporat.”

“Beliau hanya akan menimbulkan masalah kepada dirinya sendiri, dan saya rasa beliau perlu  lebih tahu dalam aspek ekonomi dan memainkan peranan sebagai menteri kewangan,” katanya dalam sidang media untuk membantah 101 projek yang diberikan secara terus oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Komen Xavier itu dibuat selepas Lim Guan Eng mendedahkan PH hanya membayar RM352 juta sebagai bayaran rundingan terus selama 22 bulan memegang kerajaan persekutuan.

Hari ini juga didedahkan yang menteri dalam negeri ketika itu Muhyiddin Yassin yang kini perdana menteri di bawah Perikatan Nasional, meminta bayaran rundingan terus sebanyak RM517.7 juta.

Zafrul dalam sidang Parlimen minggu ini mendakwa PH membayar RM6.61 bilion bayaran rundingan terus dalam 101 projek kerajaan.

Xavier juga mengecam Azmin yang kelmarin berkata beliau tidak tahu mengenai kerajaan PH meluluskan beberapa projek tanpa tender.

Memetik persetujuan Kabinet sebelumnya untuk membenarkan projek Landasan Berkembar Lembah Klang fasa dua (KVDT2) diteruskan, Xavier berkata Azmin yang merupakan bekas menteri hal ehwal ekonomi ketika itu, hadir dalam mesyuarat itu.

“Beliau ada di sana semasa mesyuarat dan sekarang berbohong dengan berkata beliau tidak tahu mengenai kelulusannya.” – 27 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen