ISU sebenar di sebalik pendedahan projek didakwa dirunding secara terus semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) adalah mengenai komitmen parti itu ke atas janji dalam manifesto pilihan raya, kata pemimpin BN.
Menteri Belia dan Sukan Reezal Merican Naina Merican berkata komitmen itu menjadi persoalan kerana rundingan terus untuk projek tertentu adalah dibenarkan dalam tatacara perbendaharaan.
“Sebagaimana diungkap Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz dari segi soal projek dilaksanakan rundingan terus adalah dibenarkan dalam tatacara perbendaharaan, bukan tidak dibenarkan.
“Isunya adalah kerajaan terdahulu (yang mahu) lebih amalkan secara tender terbuka tetapi bila setelah dibuat pendedahan maka didapati ada sejumlah RM6.61 bilion,” katanya.
Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng hari ini menjelaskan jumlah sebenar projek rundingan terus adalah RM352 juta dan bukan RM6.61 bilion seperti didakwa.
Sebahagian besar daripada jumlah RM6.61 bilion didedahkan Zafrul Abdul Aziz adalah projek yang diwarisi daripada pentadbiran Barisan Nasional (BN), katanya.
Namun menurut Reezal yang juga ahli Parlimen Kepala Batas itu berkata tiada kesalahan bagi rundingan terus untuk penganugerahan projek.
Beliau mengambil contoh projek bawah kementeriannya, program Malaysia Future Leader School (MFLS) yang diberi secara rundingan terus kepada syarikat Outward Bound Trust of Malaysia.
“Daripada segi KBS tidak ada yang agak luar biasa, MFLS adalah program dibuat OBS, yang memerlukan syarikat latihan ada latar belakang domestik dan antarabangsa.
“Ramai di kalangan kita tahu OBS ini. Saya sendiri pernah pergi ke OBS. Soal kementerian belia tak timbul, tetapi secara keseluruhan, di kementerian lain ada.
“Cuma persoalan yang perlu dijawab, PH berpegang kepada manifesto tak mahu ada rundingan terus tetapi ada projek yang menjangkaui jumlah besar. Saya harap itu biar mereka yang jawab,” katanya.
Beliau mendakwa menteri kewangan juga tidak mempunyai niat tertentu dalam membuat pendedahan tersebut, sebaliknya ia dibuat setelah ditanya di dalam Dewan Rakyat.
“Ini bukan soal nak beza kerajaan BN, ini soal prinsip yang dahulunya dijulang kerajaan dulu semua perolehan kerajaan yang mahu dibuat tender terbuka.
“Tapi bila dilaporkan, maka menjadi tanda tanya kepada rakyat. Itu sahaja,” katanya. – 27 Ogos, 2020.
Komen