MALAYSIA akan menutup sempadannya kepada semua pelancong antarabangsa hingga suku kedua tahun depan, kata Nancy Shukri dalam temubual bersama Nikkei Asian Review baru-baru ini.
Menteri pelancongan, kesenian dan budaya itu dipetik sebagai berkata Putrajaya pada masa ini sedang merangka semula senarai negara yang “hijau” dan dianggap selamat daripada virus Covid-19, sebagai langkah pertama.
Semalam Nancy memberitahu media bahawa kementerian itu sedang menyiapkan kertas cadangan bagi membuka semula laluan pelancongan dengan destinasi zon hijau di luar negara, dan ia akan dibentangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) minggu depan.
“Ia akan siap pada pertengahan minggu depan untuk kami cadangkan kepada MKN. Itu statusnya pada masa ini,” katanya.
Beliau berkata sempadan negara dibuka semula untuk Singapura bagi perjalanan penting pada 17 Ogos, tetapi negara akan terus berhati-hati bagi melindungi rakyat daripada Covid-19.
“Kalau kita buka sempadan sekarang pun, sesetengah negara lain tidak bersedia berbuat demikian, maka perjalanan antara negara masih belum boleh berlaku,” katanya dipetik daripada laporan itu. – 27 Ogos, 2020.
Komen