PERU pada Rabu mula mendaftarkan sukarelawan untuk ujian klinikal vaksin China terhadap koronavirus.
Seramai 6,000 sukarelawan, yang mesti berusia antara 18 hingga 75 tahun dan tidak dijangkiti virus, akan diambil oleh Universiti Cayetano Heredia dan San Marcos melalui laman web khusus.
“Setiap universiti akan memilih 3,000 sukarelawan,” kata Rektor San Marcos, Orestes Cachay kepada wartawan.
Vaksin yang sedang dibangunkan oleh syarikat China Sinopharm, akan diberikan secara suntikan.
Menurut penyelidik Peru yang mengendalikan ujian klinikal, dua jenis virus - strain Wuhan dan Beijing - dan plasebo akan diberikan secara rambang kepada sukarelawan.
“Pasukan teknikal dari China akan tiba dalam beberapa hari akan datang, seramai 38 orang, untuk melaksanakan bahagian operasi projek ini,” kata Cachay kepada saluran TV N.
Ujian dijangka berjalan hingga Disember
Presiden Martin Vizcarra mengumumkan minggu lalu negara itu akan mengambil bahagian dalam ujian klinikal vaksin yang sedang dibangunkan di China, Britain, Amerika Syarikat dan Jerman.
Peru yang mempunyai populasi 33 juta, mempunyai jumlah kematian ketiga tertinggi akibat wabak itu di Amerika Latin, selepas Brazil dan Mexico.
Ia mempunyai angka kematian tertinggi di wilayah ini, dengan 843.5 kematian bagi setiap sejuta penduduk.
Lebih 28,000 orang meninggal dunia kerana Covid-19 di negara ini, yang mencatatkan lebih 600,000 jangkitan setakat ini. – AFP, 27 Ogos, 2020.
Komen