SATU kajian baharu yang melihat tindak balas imun antara lelaki dan wanita terhadap koronavirus akan mendedahkan mengapa lelaki cenderung sakit lebih serius apabila dijangkiti Covid-19, kata para penyelidik pada Rabu.
Sejak awal pandemik, jelas dilihat lelaki, terutama yang berusia, berisiko jauh lebih tinggi meninggal dunia akibat virus berbanding pesakit wanita pada usia yang sama, tetapi para saintis belum mengetahui jelas puncanya.
Satu kajian baharu yang diterbitkan dalam jurnal Nature berkata lelaki secara global menyumbang sekitar 60% kematian akibat Covid-19 dan melihat apakah perbezaan tindak balas imun boleh memberikan penjelasan mengenainya.
“Apa yang kami dapati ialah lelaki dan wanita memang mengembangkan pelbagai jenis tindak balas imun terhadap Covid-19,” kata penulis utama kajian Akiko Iwasaki, seorang profesor di Universiti Yale, dalam rakaman video.
Pakar imuniti berkata “perbezaan ini mungkin mendasari peningkatan kerentanan penyakit pada lelaki”.
Para penyelidik mengumpulkan sampel hidung, air liur, dan darah daripada subjek kawalan yang tidak dijangkiti dan pesakit yang dirawat di Hospital Yale New Haven di Amerika Syarikat.
Mereka kemudian memantau pesakit untuk melihat tindak balas imun mereka.
Para penyelidik mendapati wanita mempunyai tindak balas imun lebih kuat yang melibatkan limfosit T, yang merupakan sejenis sel darah putih yang dapat mengenali virus dan menyingkirkannya.
Ini berlaku walaupun di kalangan wanita yang lebih tua, menurut hasil kajian itu.
Sebaliknya, lelaki berusia mempunyai aktiviti sel T yang lebih lemah - semakin tua, semakin lemah tindak balasnya.
Secara keseluruhannya, lelaki juga menghasilkan lebih banyak sitokin, iaitu protein keradangan yang membentuk bahagian lain daripada pertahanan imun semula jadi tubuh.
Bagaimanapun, kes Covid-19 yang teruk dikaitkan dengan situasi dikenali sebagai “ribut sitokin”, iaitu apabila sistem kekebalan tubuh menjadi berlebihan, berbahaya dan berpotensi menyebabkan kematian.
Lelaki yang menunjukkan kepekatan tinggi sejak awal lebih cenderung mengalami kes penyakit yang teruk, sementara wanita yang juga menunjukkan tahap sitokin signifikan juga kelihatan semakin teruk.
Menurut para penulis, ini menunjukkan lelaki dan wanita memerlukan rawatan yang berbeza.
Bagi lelaki, misalnya “kita harus meningkatkan tindak balas sel T mereka dengan vaksin” kata Iwasaki, sementara wanita boleh diberi rawatan untuk mengekang tindak balas sitokin.
Bagaimanapun kajian itu mempunyai had.
Pertama, ukuran sampel agak kecil, dengan jumlah keseluruhan 98 pesakit.
Umur kebanyakan pesakit juga tinggi, sekitar 60 tahun.
Mengulas mengenai penyelidikan itu, Eleanor Riley, seorang profesor di University of Edinburgh, berkata beberapa perbezaan dalam kajian ini “mungkin disebabkan oleh perbezaan usia atau BMI (perbezaan jantina hilang selepas faktor lain diambil kira)”. BMI mengukur lemak tubuh.
Beliau berkata yang lain mungkin timbul “secara kebetulan”.
“Paling penting, walaupun tindak balas rata-rata mungkin berbeza antara lelaki dan wanita, jarak penilaian kebanyakan lelaki dan wanita bertindih dengan ketara, bermaksud ramai wanita mempunyai tindak balas yang tidak boleh dibezakan daripada lelaki,” tambahnya.
Riley berkata inilah sebabnya mengapa rawatan akan lebih baik jika disesuaikan mengikut individu, dan bukannya ditentukan semata-mata berdasarkan jantina. – AFP, 27 Ogos, 2020.
Komen