Kalah pemilihan bukan alasan masuk Pejuang, kata bekas ahli MPT Bersatu


Diyana Ibrahim Kamles Kumar

Pejuang ditubuhkan oleh Dr Mahathir Mohamad selepas tersingkir daripada Bersatu bersama beberapa ahli Parlimen dan pemimpin yang menentang kerajaan Muhyiddin Yassin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Ogos, 2020

BEKAS anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang kalah pemilihan minggu lalu berikrar akan kekal bersama parti walaupun tidak lagi memegang jawatan sebagai penentu dasar parti menuju Pilihan raya Umum ke-15.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight tidak akan menyertai parti serpihan Parti Pejuang Tanah Air atau Pejuang, yang ditubuhkan oleh bekas pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad.

Wan Mohd Shahrir Wan Abd Jalil berkata biarpun kecewa namun beliau akur dengan keputusan pemilihan, kerana baginya begitulah adat pertandingan.

“Kecewa mesti ada kecewa tapi biasalah bertanding… kalah menang adat lah.   

“Jawatan tak penting bagi saya. Kalah tahun ini, insya-Allah, tiga tahun lagi mungkin… mungkin saya cuba lagi. Untuk saya merajuk marah, itu semua tak akan berlaku. Saya akan kekal dengan parti,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pejuang adalah parti baharu yang ditubuhkan oleh Dr Mahathir selepas tersingkir daripada Bersatu bersama beberapa ahli Parlimen dan pemimpin yang menentang kerajaan Muhyiddin Yassin.

Cuba memandang kekalahan dari sudut positif, beliau yang sebelum ini mengetuai Bersatu Pahang berkata akan cuba memperbaiki kelemahan.

“Saya akan tengok balik diri saya kesilapan mengapa pewakilan tak nak sokong saya. Kelemahan ini yang saya kena baiki.

“Apa yang saya boleh beri khidmat kebaikan untuk parti saya akan bagi. Kalau parti minta berkhidmat saya akan bantu tanpa apa balasan,” katanya.

Tidak wakili suara muda

Dalam pada itu, seorang lagi bekas ahli MPT Faiz Na’aman bimbang barisan kepimpinan yang terpilih tidak begitu mewakili anak muda. 

Katanya, jika Bersatu tidak mengimbangi barisan wakil pemimpin muda, ia akan berdepan masalah untuk bersaing dengan parti anak muda yang dilaporkan sedang dibentuk oleh bekas ketua Pemuda Bersatu sendiri Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Ahli MPT semua umur 40 tahun ke atas, tidak ada wakil orang muda.

“Saya harap kepimpinan akan seimbangkan balik. Kalau tidak, boleh menjadi hujah kepada Syed Saddiq yang tubuh parti anak muda,” katanya.

Pemilihan Bersatu yang berakhir hujung minggu lalu adalah yang pertama sejak penubuhannya pada 2016. 

Antara yang terpilih menjawat MPT ialah bekas pemimpin Umno Ronald Kiandee yang menang jawatan naib presiden serta Mustapa Mohamed dan Rosol Wahid, yang menang antara 20 kerusi anggota majlis.

Nama lain yang menang ialah bekas menteri besar Johor Dr Shahruddin Jamal dan timbalan menteri dalam Kabinet di Putrajaya Ikmal Hisham Abdul Aziz dan Eddin Syazlee Shith dan anggota exco Perak Zainol Fadzi Paharudin.

Sementara itu, Sukiman Sarmani yang turut gagal mempertahankan kedudukannya juga berkata tidak pernah terlintas untuk bertukar parti.

Beliau akur apabila ahli akar umbi menolaknya kerana pembawakannya sebagai seorang ahli akademik yang sangat berbeza dengan dunia politik.

“Selepas bersara dari dunia akademik, saya dijemput masuk ke dalam dunia yang sangat asing buat saya… sepak terajang politik yang sangat berbeza dengan dunia akademik.

“Mungkin cara saya tak sesuai tak sesuai dengan politik dan ini tak boleh diterima oleh ahli tapi saya terima pandangan mereka.

“Saya sedikit pun tidak terlintas untuk keluar, sebab ini parti yang saya sertai,” katanya. – 27 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen