Bersatu tidak akan jadi parti pelbagai kaum, kata pemimpin parti


Kamles Kumar

Aakar umbi Bersatu bimbang tentang kemungkinan identiti dan asas penubuhan parti akan terhakis sekiranya keahlian dibuka kepada bukan Melayu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Ogos, 2020.

BERSATU tidak akan jadi parti pelbagai kaum tetapi akan mendirikan sebuah sayap baharu untuk ahli bukan Melayu tanpa memberikan mereka hak keanggotaan yang penuh, kata pemimpin parti.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, Bersatu hanya akan memperbaiki struktur sedia ada untuk ahli bersekutu, ketika ada kebimbangan dalam kalangan ahlinya di peringkat akar umbi tentang kemungkinan identiti dan asas penubuhan parti akan terhakis.

Antara struktur yang diteliti ialah membolehkan ahli bersekutu memegang peranan yang lebih luas, termasuk kemungkinan mewakili parti bertanding dalam pilihan raya.

Rais Yatim, yang diberi tugas mengetuai jawatankuasa menilai kemasukan ahli bersekutu, berkata Bersatu tegas tidak akan menjadi sebuah parti berbilang kaum.

“(Tugas jawatankuasa) hanya untuk melebarkan kedudukan ahli bukan Melayu dalam struktur ahli bersekutu yang sedia ada. Ia akan jadi satu lagi payung.

“Mereka bukan menyertai parti untuk jadi ahli penuh. Ahli bersekutu mempunyai peranan yang terhad,” katanya, yang juga pengerusi Bersatu Negeri Sembilan, kepada The Malaysian Insight.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin hujung minggu lalu mengumumkan Bersatu akan “membuka lembaran baharu” selepas menerima masuk bekas ahli PKR diketuai bekas timbalan presidennya yang dipecat Mohamed Azmin Ali, bersama pengikutnya termasuk yang bukan Melayu.

Muhyiddin memberi jaminan proses kemasukan pengikut Azmin akan disegerakan manakala Bersatu akan merombak struktur parti untuk mendirikan sayap ahli bersekutu bukan Melayu dan pribumi.

Pada masa ini, perlembagaan Bersatu menerima bukan Melayu dan bukan Bumiputera sebagai ahli bersekutu, yang bagaimanapun tidak menikmati hak sebagai ahli biasa. 

Hanya ahli biasa yang terdiri daripada Melayu dan Bumiputera yang ditakrifkan sebagai pribumi diberi hak untuk mengundi dan bertanding bagi mana-mana jawatan dalam parti serta dikira sebagai korum dalam persidangan parti.

Rais Yatim, yang diberi tugas mengetuai jawatankuasa menilai kemasukan ahli bersekutu, berkata Bersatu tegas tidak akan menjadi sebuah parti berbilang kaum. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Ogos, 2020

Sementara itu, ketua Pemuda Bersatu yang baharu dipilih Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata sayap bukan Melayu itu nanti tidak jauh bezanya dengan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

“Kita masih percaya Bersatu ialah sebuah parti Melayu. Ia tidak akan jadi parti berbilang kaum, namun kita mengakui pentingnya untuk parti mempunyai ahli bukan Bumiputera.

“Identiti asas Bersatu kekal sebagai parti nasionalis. Sebuah sayap atau struktur lain ialah untuk membolehkan ahli bukan Melayu memegang jawatan dan bertanding, seperti DHPP,” kata timbalan menteri belia dan sukan.

Wan Ahmad Fayhsal juga berkata Bersatu menerima kumpulan Azmin “supaya parti mempunyai lebih ramai pemimpin berkualiti”.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Eddin Syazlee Shith pula berkata langkah parti itu dialu-alukan kerana ia akan mengukuhkan parti yang menjadi kerajaan.

“Ini langkah yang baik, kita meluaskan parti. Kita dalam kedudukan memimpin di atas, jadi wajarlah kita menjadi lebih besar,” katanya.

Timbalan menteri kerja raya bagaimanapun menambah ahli di peringkat akar umbi perlu diberikan penjelasan agar mereka tidak salah faham mengenai hasrat menerima ahli bukan Melayu.

“Mesti ada penjelasan kepada akar umbi supaya mereka tidak keliru,” kata Eddin.

Rais juga bimbang akan reaksi balas dari akar umbi. Katanya, langkah meluaskan pintu kepada ahli bukan Melayu perlukan penerangan lanjut.

Kegagalan memberi penerangan yang jelas akan menyebabkan Bersatu hilang sokongan, sama seperti yang pernah dialami oleh pengasas Umno, Onn Jaafar ketika cuba membuka keahlian parti itu pada 1951.

“Kita perlu menangani hal ini dengan berhati-hati dan cermat. Kita tidak mahu apa yang berlaku kepada wawasan besar seperti Onn Jaafar yang tersingkir, terjadi kepada parti kita,” kata Rais.

Pensyarah politik di Universiti Malaya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata Bersatu hanya mahu mengukuhkan kedudukannya supaya diterima meluas oleh rakyat Malaysia.

Ia perlu menjenamakan semula dirinya kerana ia tidak mempunyai kelebihan lain berbanding Umno yang lebih dominan, katanya.

Beliau bagaimanapun memberi amaran langkah itu mungkin memakan diri sehingga parti hilang sokongan daripada Melayu yang setia.

“Akar umbi akan berpecah. Mereka masuk Bersatu kerana menganggap ia lebih bersih daripada Umno dan mempertahankan ideologi Melayu.

“Akan ada yang kecewa dan mungkin beralih kepada Pejuang atau balik kepada Umno, kerana Umno juga dalam kerajaan,” kata Awang Azman.

Pejuang adalah parti baharu yang ditubuhkan oleh Dr Mahathir Mohamad selepas tersingkir daripada Bersatu bersama beberapa ahli Parlimen dan pemimpin yang menentang kerajaan Muhyiddin.

Parti itu sedang diproses pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan. – 27 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen