KLUSTER Tawar di Kedah hari ini merekodkan tiga kes baharu Covid-19, menjadikan jumlah kes positif dalam kluster itu kepada 73.
Tiga kes berkenaan merupakan antara enam kes baharu yang direkodkan seluruh negara hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata 4,051 orang disaring dalam kluster ini yang merentasi seluruh Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
“Daripada 3,514 orang yang disaring di Kedah, 62 disahkan positif, 2,884 negatif dan 568 masih menunggu keputusan ujian.
“Manakala di Pulau Pinang, 526 disaring, 11 adalah kes positif, 513 negatif dan dua lagi masih menunggu keputusan,” katanya dalam satu kenyataan.
Di Perak katanya, 11 kes suspek adalah negatif.
Enam kes yang direkodkan di seluruh negara hari ini menjadikan jumlah kumulatif jangkitan kepada 9,291.
Lima termasuk kes kluster Tawar adalah penularan tempatan manakala satu adalah kes import dari Singapura.
“Satu kes import melibatkan warga Singapura dan ia dilaporkan di Selangor,” kata Dr Noor Hisham.
Kes penularan tempatan lain membabitkan satu kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) dan ujian saringan tanpa gejala, kedua-duanya di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.
Dengan tujuh kes pulih direkodkan hari ini, kes aktif kekal pada 188 manakala tiada kes kematian baharu dilaporkan. – 26 Ogos, 2020.
Komen