Siasat tender terus zaman BN juga, kata Guan Eng


Diyana Ibrahim

Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng berkata akan wujud masalah 'antara dua darjat' sekiranya SPRM hanya menyiasat PH sahaja.– Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Ogos, 2020.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) patut menyiasat projek rundingan terus yang dibuat ketika pentadbiran Barisan Nasional dan tidak hanya semasa Pakatan Harapan saja, gesa ahli Parlimen pembangkang.

Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng berkata pembangkang tidak ada masalah sekiranya SPRM ingin menyiasat 101 projek rundingan terus yang diluluskan oleh PH bernilai RM6.61 bilion yang didedah Zafrul Abdul Aziz di Dewan Rakyat minggu ini.

Namun SPRM perlu adil, katanya, dan mengelakkan hanya menyiasat PH sahaja sehingga ternampak seperti ada dua darjat antara kerajaan yang memerintah.

“Tidak ada masalah dengan keputusan SPRM menjalankan kajian menyeluruh ke atas 101 projek rundingan terus bernilai RM6.61 bilion yang diluluskan Kementerian Kewangan PH sekiranya SPRM menjalankan secara adil dan profesional.

“Kami risau akan wujud masalah ‘antara dua darjat’ di mana kajian SPRM hanya dijalankan ke atas projek runding terus kerajaan BN dan PN boleh menimbulkan persepsi negatif antara dua darjat,” katanya di Parlimen hari ini.

Kelmarin, Zafrul berkata sebanyak 101 projek dengan nilai perolehan RM6.61 bilion diberi secara rundingan terus semasa PH jadi kerajaan.

Zafrul membuat kenyataan itu menjawab celahan Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan semasa menggulung perbahasan rang undang-undang Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019) Covid-19 2020.

Jawapan Zafrul lalu mencetuskan kekecohan di Dewan Rakyat, sehingga menyebabkan Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham diusir keluar oleh Speaker Azhar Azizan Harun. – 26 Ogos, 2020.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen