Putrajaya tarik balik RUU khidmat 2 penggal perdana menteri


Diyana Ibrahim

Putrajaya menarik balik dua RUU berkaitan tempoh perjawatan perdana menteri dan Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis 2019. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Ogos, 2020.

PUTRAJAYA hari ini menarik balik rang undang-undang untuk menghadkan tempoh khidmat jawatan perdana menteri kepada hanya dua penggal.

Menteri Undang-Undang Takiyuddin Hassan mengumumkan keputusan kerajaan Perikatan Nasional untuk menarik balik RUU yang pertama kali dibentangkan pentadbiran Pakatan Harapan pada tahun lepas itu.

RUU itu mencadangkan pindaan dibuat ke atas Klausa 2 (a) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan untuk menghadkan tempoh khidmat perdana menteri kepada hanya dua penggal Parlimen.

Usaha menghadkan tempoh seseorang memegang jawatan perdana menteri kepada hanya dua penggal adalah salah satu manifesto pilihan raya PH.

Cadangan serupa juga dibentangkan oleh PH untuk had khidmat dua penggal menteri besar dan ketua menteri.

Takiyuddin juga di Dewan Rakyat hari ini memaklumkan yang Putrajaya juga menarik balik RUU Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC).

Perkara itu bagaimanapun sudah diketahui sejak Mac lalu, apabila kerajaan PN berkata polis menentang keras penubuhan suruhanjaya bebas itu.

Bagaimanapun, selepas Takiyuddin memaklumkan penarikan itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Mohamed Said bangun mengumumkan RUU Suruhanjaya Bebas Tatakelaku Polis 2020 yang juga bermatlamat memantau tindakan polis.

Katanya, RUU itu akan dibahaskan dan akan menjalani proses pengundian pada sidang Dewan Rakyat yang sedang berjalan sekarang.

RUU IPCMC dibentangkan pada Julai tahun lepas selepas 24 pindaan. Ia dibahaskan pada Oktober lepas, tetapi disebabkan berlaku bantahan berterusan, ia dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk penambahbaikan lanjut.

Walaupun beberapa tambah baik dibuat, bantahan kepada RUU itu berterusan menyebabkan ia digantikan hari ini.

RUU baharu itu membenarkan siasatan ke atas salah laku polis, tetapi sebarang tindakan displin akan diambil oleh pasukan polis. – 26 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen