Antara KL dan Jakarta, Chew Kin Wah ukir nama


Nabihah Hamid

Chew Kin Wah, anak kelahiran Ipoh, Perak ini tidak pernah memilih walaupun sering mendapat tawaran watak sama kerana realiti dunia lakonan baginya adalah pekerjaan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 10 Disember, 2017.

PELAKON Malaysia Chew Kin Wah kini semakin mencipta nama di Indonesia selepas lakonannya sekali lagi mendapat pengiktirafan di republik itu, yang ketiga setakat ini untuk filem yang sama.

Lebih manis, pengiktirafan melalui filem komedi, “Cek Toko Sebelah” itu datang dua kali dalam tempoh seminggu .

Dua hari selepas terpilih sebagai Pelakon Lelaki Pembantu Terbaik di festival filem tahunan anjuran majalah mingguan Tempo, Chew tercalon pula untuk satu lagi anugerah di Indonesia, i-Cinema Awards bagi kategori yang sama.

Pada Mac lepas, melalui filem itu, beliau diangkat sebagai pelakon pembantu terbaik di Indonesia Box Office Awards 2017.

“Semua ini nasib dan takdir. Saya rasa kalau kita kerja kuat dan bersungguh, apa yang dikerjakan itu akan berhasil,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Dalam filem itu, Chew memegang watak sebagai Koh Afuk, pemilik kedai runcit yang mahu menyerahkan perniagaan kepada anak keduanya, lakonan pelakon komedi Ernest Prakasa, tetapi dibantah oleh anak lelaki yang tua.

Pencalonan di i-Cinema Awards adalah juga yang kedua baginya selepas dicalonkan tahun lalu bagi kategori pelakon pembantu terbaik melalui filem pertamanya di Indonesia, “My Stupid Boss”.

Chew, 52, dalam tempoh dua tiga tahun ini memang kerap berulang alik antara Kuala Lumpur dan Jakarta kerana berlakon filem.

“Itulah yang pelik. Saya pun tidak tahu mengapa laris (tawaran berlakon) di Indonesia kerana harusnya laris di sini,” katanya.

Sebelum akhir bulan ini, sebuah lagi filem lakonannya, “Susahnya Sinyal” akan mula ditayang di Indonesia, juga diarahkan oleh Ernest.

Selepas beberapa buah filem komedi, Chew dapat pula tawaran muncul dalam filem biografi tokoh politik Indonesia, yang kini masih peringkat perbincangan.

“Setakat ini belum confirm lagi. Ada dua tiga produksi yang bertanya saya untuk berlakon. Ceritanya memang menarik tetapi saya belum kata ‘ya’ atau ‘tidak’.”

Beliau juga akan muncul dalam “Terbang Menembus Langit”, sebuah filem biografi usahawan berjaya Onggy Hianata dari Kalimantan Utara, yang akan mula ditayangkan tahun depan.

Chew, yang sudah berlakon dalam enam filem Indonesia, mengaku seronok berlakon di seberang kerana ada peluang menunjukkan kepelbagaian bakatnya.

Kalau di Malaysia, katanya, dia sudah agak bosan kerana sering mendapat watak yang sama, sebagai “ahlong” atau samseng.

“Di Malaysia, watak Cina dalam drama Melayu kurang. Drama Cina juga begitu, tiada watak Melayu.

“Pelakon Cina di sini bukan sahaja ‘ahlong’. Boleh juga jadi mekanik, tuan kedai runcit. Doktor pun boleh,” katanya.

Chew juga berkata ada satu lagi watak yang selalu ditawarkan kepadanya, hampir setiap tahun — menjadi komunis.

“Setiap tahun akan dapat tawaran daripada RTM untuk drama sempena Tahun Baru Cina atau hari Merdeka jadi komunis dan orang jahat.

“Tapi okaylah, kira itu rezeki dua kali setahunlah,”katanya, yang fasih berbahasa Melayu, Inggeris dan Kantonis.

Menurut Chew, beliau dapat tawaran yang berulang-ulang seperti itu kerana di Malaysia tidak ramai pelakon Cina yang boleh berbahasa Melayu dengan baik.

“Ada ramai orang tak suka saya dulu apabila saya kata tak ramai pelakon Cina dan saya tidak takut (saingan). Tapi saya boleh ulang lagi (kenyataan sama) kerana sampai sekarang masih sama.

“Ia sesuatu yang menyedihkan. Kenapa mereka (pelakon Cina) tidak boleh berbahasa Melayu?

“Saya tak boleh kata itu tak bagus sebab saya boleh pau (sapu) semua (tawaran berlakon).

“Tapi orang jahat saya, perogol saya, komunis saya, ahlong… semua saya,” kata anak kelahiran Ipoh, Perak ini.

Chew bermula di pentas teater pada tahun 1980-an bersama kumpulan teater Inggeris, Five Arts Centre dan pernah ikut sama mementaskan antaranya “Yap Ah Loy: The Play” dan “1984 - Here and Now” pada 1985 serta “Lady White” (1989), “Skin Trilogy” (1995), “Family” (1998), dan “Dumb Waiter” (2001).

Dalam tempoh yang sama, beliau mula muncul di televisyen melalui Kopitiam, siri komedi di ntv7 yang bersiaran antara 1998 hingga 2003 selama tujuh musim dan mendapat pengiktirafan di Asian Television Awards.

Chew kemudian berlakon pula dalam siri drama Kantonis, “Homecoming” dan siri drama Melayu, “Astana Idaman”.

Beliau juga diingati kerana lakonannya sebagai pejuang kemerdekaan HS Lee yang juga menteri kewangan Malaysia yang pertama dalam filem “1957: Hati Malaya”, satu daripada beberapa buah filem lakonannya selain “Susuk”, “Belukar”, “Take Me To Dinner” dan “Interchange”.

Tiga tahun lalu, beliau menang anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Drama di Anugerah Skrin 2014 menerusi telefilem “Matahari Terbit Lagi” yang disiarkan di TV Al-Hijrah.

Dalam satu wawancara sempena ulang tahun ke-25 Five Arts Centre, beliau terjun ke televisyen dan filem kerana bayarannya lebih lumayan berbanding main teater, dan kerana pelakon pun “perlu bayar petrol, makan dan bil telefon”.

Walaupun mendapat tawaran watak sama berulang-ulang, Chew jujur saja mengaku beliau tidak boleh begitu memilih kerana realitinya dunia lakonan baginya adalah pekerjaan.

“Tapi itulah kenyataannya… watak Cina dalam drama atau filem Melayu agak sempit. Saya tidak boleh kata tidak hendak, kalau tidak, saya tiada kerja,” katanya.

Ditanya apa yang beliau belajar daripada industri filem di Indonesia, Chew berkata selain tema dan ceritanya yang pelbagai, orang Indonesia bangga pada bahasanya sendiri

“Di sana ada satu bahasa saja digunakan tapi di Malaysia ada pelbagai. Harusnya tiada drama Cina atau drama Melayu kerana harusnya ada drama Malaysia.” – 10 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen