Ada tahanan direman sehingga 5 tahun, kata menteri


Ada kes tahanan direman sehingga lima tahun, kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Ogos, 2020.

REKOD tempoh reman terlama dicatatkan Jabatan Penjara adalah lima tahun, dedah Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan jenis kesalahan yang membolehkan pihak berkuasa mereman suspek sehingga lima tahun.

“Berdasarkan rekod oleh Jabatan Penjara, reman terlama direkodkan adalah lima tahun. Reman ini dibuat berdasarkan waran tangkap dikeluarkan mahkamah.

“Jabatan dari semasa ke semasa akan memaklumkan sebarang maklumat tentang status individu di bawah reman kepada Jabatan Peguam Negara dan mahkamah untuk mempercepatkan perbicaraan mereka,” kata Hamzah dalam jawapan bertulis kepada soalan Chan Ming Kai (Alor Setar-PH) yang bertanyakan rekod tahanan reman terlama pernah berlaku dan mengapa individu itu direman.

Chan juga meminta Hamzah mendedahkan jumlah, jantina serta kewarganegaraan banduan yang ditahan dalam penjara seluruh negara.

“Setakat 29 Jun, terdapat 66,363 banduan di penjara seluruh negara. Mereka sedang menjalani hukuman dan diletakkan dalam penjara.

“52,806 banduan adalah warga Malaysia. 35,986 adalah Melayu, 4,761 adalah Cina, 6,585 adalah India dan 5,474 adalah kaum lain-lain.

“Sementara itu 13,557 adalah warga asing. Terdapat 62,201 banduan lelaki dan 4,162 banduan wanita,” katanya. – 26 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen