Yuran asrama, perkhidmatan universiti kurang 15%, kata timbalan menteri


Noel Achariam Diyana Ibrahim

Pengurangan bagi sesi kedua sesi akademik 2019 dan 2020 melibatkan peruntukan sebanyak RM72 juta, membabitkan 523,318 pelajar universiti awam di seluruh negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Ogos, 2020.

KERAJAAN akan mengurangkan kadar yuran asrama dan yuran perkhidmatan di universiti awam sebanyak 15% susulan pandemik Covid-19, kata Dr Mansor Othman.

Timbalan menteri pengajian tinggi itu berkata pengurangan bagi sesi kedua sesi akademik 2019 dan 2020 untuk pelajar warga Malaysia akan melibatkan peruntukan sebanyak RM72 juta, membabitkan 523,318 pelajar universiti awam di seluruh negara.

“Yuran institut penganjian tinggi masih kekal sama walaupun dalam situasi pandemik Covid-19.

“Kementerian Pengajian Tinggi sentiasa prihatin terhadap maklum balas daripada pelajar, ibu bapa dan pihak berkepentingan supaya yuran di universiti awam dapat dikurangkan.

“Dalam hal ini, Kementerian Pengajian Tinggi telah mengadakan rundingan dengan pihak Kementerian Kewangan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung perkara ini.

“Kerajaan setuju mengurangkan kadar yuran asrama dan yuran perkhidmatan ataupun aktiviti univerisiti awam sehingga 15% setelah mengambil kira keupayaan kewangan kerajaan dan universiti awam,” kata Mansor semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Azizah Mohd Dun (Beaufort-Bersatu) mengenai yuran pengajian tinggi di institut pengajian tinggi awam dan swasta yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Pelajar universiti meminta kerajaan menimbang cadangan supaya yuran pengajian dikurangkan sebanyak 25%.

Jun lalu, Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) menyerahkan petisyen kepada naib canselor Abdul Rahim Hashim, menuntut pengurangan yuran sekurang-kurangnya 25% daripada jumlah semasa.

Petisyen yang dilancarkan pada 1 Jun itu mendapat 23,446 tandatangan.

Mansor berkata pengurangan 15% itu adalah tambahan kepada bantuan lain sebelum ini seperti bantuan secara one off RM200 kepada  841, 464 pelajar IPT di bawah pakej rangsangan ekonomi Prihatin.

Beliau juga berkata sebanyak RM52.2 juta telah disalurkan bagi penyediaan makanan kepada pelajar yang terkandas di kampus masing-masing semasa perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Yang ketiga, penghantaran pulang 57, 565 pelajar melibatkan peruntukan sebanyak RM17.4 juta.”

Selain itu, penangguhan bayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) juga telah dilanjutkan sehingga 31 Disember, kata Mansor.

“Inisiatif ini dapat memberi manfaat kepada 1.5 juta peminjam dengan jumlah bayaran balik yang ditangguhkan sebanyak RM750 juta.” – 26 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen