KERAJAAN kekal membekukan pengambilan pekerja asing sehingga akhir tahun ini kerana mahu mengutamakan rakyat tempatan, kata Menteri Sumber Manusia M Saravanan.
Langkah ini perlu diambil bagi mengurangkan kadar pengangguran di negara ini, menurutnya kepada The Malaysian Insight.
“Kita telah membuat keputusan membeku pengambilan pekerja asing sehingga akhir tahun ini, dan tiada kompromi mengenainya.
“Ini antara langkah yang kita ambil untuk mengurangkan pengangguran rakyat tempatan,” kata Saravanan.
Jun lalu kerajaan umum membeku pengambilan pekerja asing selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) dilonggarkan. Keputusan tersebut bagi membolehkan rakyat tempatan yang hilang kerja mengambil alih pekerjaan yang sebelum ini didominasi warga asing.
Saravanan berkata terdapat lebih 800,000 rakyat Malaysia yang hilang pekerjaan sejak PKP dikuatkuasakan.
“Ini termasuk graduan universtiti dan mereka yang pulang dari Singapura dan negara lain.
Menurut data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar pengangguran di negara ini naik kepada 5.3% atau bersamaan 826,100 orang pada Mei. Kadar itu bagaimanapun turun kepada 4.9% pada Jun.
“Berdasarkan data ini, anggaran awal kadar pengangguran diunjurkan berada antara 3.5% dan 5.5% tahun ini,” kata Saravanan.
Menurutnya, trend ini sejajar dengan penurunan 10% dalam statistik Kehilangan Pekerjaan (LOE) iaitu dari 18,579 (Jun) kepada 16,660 (Julai), yang didaftarkan di bawah Sistem Insurans Pekerja (SIP).

Peluang untuk rakyat tempatan
Bagi menangani masalah pengangguran, Saravanan berkata Putrajaya melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk MyFuture Jobs Career dan Skills Carnival yang bermula di Tapah, Perak dua minggu lalu.
“Kita ke Slim River selepas itu dan lebih 10,000 orang sudah mendaftar.
“Selepas ini kita akan ke Hulu Selangor, kemudian Johor. Kita akan ke seluruh Malaysia.
Saravanan berkata sambutan yang diterima adalah menggalakkan.
“Ini merupakan satu cara untuk mendekati mereka yang berada di kawasan luar bandar dan hubungkan mereka dengan pasaran kerja.”
Pengambilan semula pekerja asing
Berkenaan pengambilan semula pekerja asing yang berdokumen, Saravanan berkata Kementerian Sumber Manusia sedang memantau semua industi dengan teliti.
“Moratorium pinjaman akan tamat bulan depan. Selepas itu barulah kita akan tahu situasi sebenar yang dihadapi perusahaan kecil dan sederhana.
“Kita juga ada sejumlah pekerja asing (berdokumen) di sini yang perlukan kerja.”
Terdapat kira-kira dua juta pekerja asing yang sah di negara ini, tambah Saravanan.
“Kita akan kenal pasti pekerja asing ini mengikut sektor yang dibenarkan, iaitu pembinaan dan perladangan, dan kemudian kita akan letakkan mereka.
Selepas itu barulah Putrajaya tentukan sama ada perlu atau tidak membawa masuk lebih ramai pekerja asing, katanya.
“Buat masa ini kita hanya mengutamakan rakyat tempatan yang tiada kerja dan pekerja asing yang berdokumen.
“Sebaik sahaja masalah mereka selesai, barulah kita tentukan sama ada perlu bawa masuk lagi pekerja asing atau tidak.”
Berkenaan sektor yang dibenarkan mengupah semula pekerja asing, Saravanan berkata perkara itu akan diputuskan bulan depan. – 27 Ogos, 2020.
Komen