Jerman lanjutkan skim bayar pekerja


Jerman membayar baki upah pekerja yang dipotong jam bekerja oleh majikan yang mahu mengurangkan kos kerana wabak Covid-19. – Gambar EPA, 26 Ogos, 2020.

SKIM negara Jerman yang membayar baki upah pekerja yang kehilangan jam bekerja kerana wabak Covid-19 dilanjutkan setahun lagi bagi menghalang pembuangan pekerja besar-besaran.

Parti pemerintah konservatif haluan tengah kiri Canselor Angela Merkel, Sosial Demokrat, pada Selasa bersetuju membenarkan program itu berjalan selama 24 bulan lagi kepada mana-mana syarikat yang memohon sehingga hujung tahun ini.

Ia juga melanjutkan bantuan kewangan kepada perniagaan kecil sehingga hujung tahun depan dan melonggarkan undang-undang kemuflisan bagi mengelak situasi muflis melampau.

Program waktu bekerja singkat itu dikenali sebagai Kurzarbeit, membolehkan kerajaan Jerman membayar sekitar dua pertiga gaji pekerja yang dipotong jam bekerja oleh majikan kerana mahu menjimatkan kos.

Skim itu digunakan secara meluas pada krisis kewangan 2008-2009 dan dianggap menyelamatkan puluhan ribu pekerjaan.

Program itu adalah salah satu langkah utama digunakan Berlin untuk melindungi kuasa besar ekonomi Eropah itu daripada kesan wabak, sebahagian daripada pakej sokongan ekonomi kerajaan bernilai satu trilion euro.

Pada kemuncak perintah berkurung kerana Covid-19, hampir 6.8 juta warga Jerman menerima bantuan kewangan menerusi skim itu, kata agensi persekutuan.

Bagi memudahkan akses kepada program itu, kementerian melonggarkan syarat yang perlu dipatuhi syarikat untuk layak memohon bantuan.

Gergasi Jerman seperti Lufthansa, Volkswagen dan BMW antara syarikat yang mengambil peluang menggunakan skim itu.

Sebelum wabak melanda, kadar pengangguran Jerman berada sekitar 5%, ia kini meningkat kepada 6.4%.

Negara Eropah lain, termasuklah Perancis dan Britain, memperkenalkan program waktu bekerja singkat serupa untuk menangani kesan wabak.

Skim itu bagaimanapun menelan belanja besar. Apabila ekonomi Jerman menguncup sekitar 5% pada 2009, sekitar 1.1 juta pekerja berada dalam skim itu yang menelan belanja 10 bilion euro.

Selepas mengekalkan belanjawan seimbang bertahun lamanya, kerajaan Jerman berkata ia merancang meminjam 218 bilion euro tahun ini bagi membantu program pemulihan ekonomi pasca wabak. – AFP, 26 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen