PEKEBUN durian di Raub, Pahang yang bermasalah mahu melakukan rundingan secara terus dengan kerajaan negeri berbanding dengan syarikat diberikan hak pajakan tanah yang diteroka mereka.
Mereka bersedia untuk mengadakan sesi dialog, dengan syarat tawaran semasa untuk “mengesahkan” kebun durian mereka yang dikatakan haram diubah bagi memasukkan terma dan syarat yang lebih adil, kata mereka kepada The Malaysian Insight.
Pekebun Raub itu yang bersatu di bawah kumpulan Perikatan Selamatkan Musa King (Samka) berkata mereka tidak boleh menerima tawaran yang diberikan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd sekarang.
Terma semasa memberikan monopoli pembelian tuaian durian kepada kerajaan negeri, memaksa pekebun menjual hasil tuaian dengan harga lebih rendah berbanding harga pasaran dan mengenakan levi tinggi kepada tanah yang mereka gunakan untuk tanaman durian.
Syarikat itu adalah usaha sama antara konsortium Royal Pahang Durian Group (RPDG) dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang, memberikan pajakan hak penggunaan tanah seluas 5,357 ekar (2,168 hektar) di Raub selama 30 tahun dengan tambahan 30 tahun lagi.
Usaha itu dibuat kerajaan negeri yang dikatakan mahu mengekang pencerobohan haram peluasan penanaman durian. Kerajaan negeri juga mendakwa pekebun durian melakukan aktiviti penanaman tanpa permit, dan kontrak menawarkan kaedah untuk “menghalalkan” kebun durian mereka.
Kontrak termasuklah RM6,000 levi per 0.4 hektar tanah tahun ini dan menjual Musang King Gred A pada kadar tetap RM30 per kilo kepada syarikat itu sahaja bagi tahun 2020 dan 2021.
Ini jauh lebih rendah berbanding harga pasaran sebanyak RM45 per kilo, malah levi yang dikenakan bermaksud pekebun dengan 4 hektar tanah perlu membayar sewa sebanyak RM60,000 setahun.

Ahli Samka berkata mereka diberikan tekanan untuk menandatangani kontrak itu jika tidak mahu berdepan tindakan undang-undang.
Pengerusi Samka Wilson Chan menolak dakwaan yang kebun durian itu haram, berkata pekebun berulang kali memohon geran dan permit tanah tetapi tidak dilayan.
“Kami tak akan terima kontrak sekarang. Ia bukan situasi menang-menang. Ia situasi hidup-mati.
“Kami lebih rela bekerja terus dengan kerajaan negeri daripada menerusi syarikat. Pahang masih boleh dapat perolehan dengan kutip sewa dan levi daripada pekebun secara terus.
“Jika mereka mahu kenakan cukai durian, kami tak kisah. Lebih baik bekerja terus dengan kerajaaan negeri daripada menerusi pihak ketiga,” kata Chan kepada The Malaysian Insight pada lawatan ke Raub baru-baru ini.
Liong Kin Min, 63, pekebun generasi kedua, berkata sekiranya tawaran syarikat lebih adil, pekebun akan menyokongnya, menambah yang kerajaan negeri mahupun RPDG tidak bertemu pekebun untuk menjelaskan situasi atau kontrak itu.
Katanya, beliau hanya mengetahui kontrak itu daripada pekebun yang lain.
“Kami bersedia untuk berjumpa dan berbincang tetapi mereka tidak (sedia dan mahu). Jika RPDG bersedia memberikan tawaran lebih baik dan adil, kami akan teliti.
“Bagaimanapun, jika mereka hanya beri tawaran kontrak tidak adil serupa sekarang, kami tidak akan berurusan dengan mereka. Kami hanya akan bercakap dengan kerajaan negeri.”
Apa yang Royal Pahang tahu mengenai tanaman durian?
Seorang lagi pekebun durian, Phun Kong Seng, 37, berkata syarat diletakkan RPDG kepada pekebun “mengarut”.
Salah satunya adalah mengeluarkan 2,000kg durian untuk satu ekar atau 0.4 hektar.
“Ia mengarut,” kata Phun yang memiliki lebih 10 ekar kebun durian.
“Mereka harapkan setiap pokok keluarkan sekurang-kurangnya 50 buah dan daripada itu, mereka mahu 30 buah Gred A. Sangat tak munasabah kerana pertumbuhan durian bergantung kepada persekitaran dan iklim sekeliling.
“RPDG tak faham tanam durian,” katanya.
Phun yang bengang berkata beliau akan meracun semua pokoknya jika penyelesaian kemelut kontrak tidak dapat dicapai atau jika beliau dihalang daripada memasuki kebunnya sendiri.

Eric Woo, timbalan setiausaha agung Persatuan Pembangunan dan Perlindungan Pertanian Malaysia berkata RPDG perlu lebih berusaha memahami isu penanaman durian.
“Apa yang RPDG tawarkan kepada pekebun berat sebelah.
“Tawaran harga yang jauh lebih rendah untuk membeli durian berbanding kadar pasaran. Selain harga rendah, mereka juga mengenakan levi tinggi. Ia jauh lebih tinggi berbanding levi kerajaan negeri RM50 per 04 hektar. Jelas sekali tidak ada situasi menang-menang di sini,” kata Woo.
Ahli Samka dan Adun Tras Chow Yu Hui minggu lepas mendedahkan terma kontrak dan pada Isnin mengadakan protes berhampiran Pasar Sungai Klau.
Tindakan mereka berjaya menangguhkan sementara tindakan penguatkuasaan kerajaan Pahang terhadap pekebun durian tanpa permit.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi negeri Mohd Soffi Abdul Razak mengesahkan di DUN Pahang yang tindakan penguatkuasaan ditangguh selepas Adun Bilut Lee Chin Chen membangkitkan isu kontrak pekebun durian dalam DUN. – 26 Ogos, 2020.
Komen