PEKEBUN di Raub, Pahang, mula mengusahakan tanah sejak tahun 1970-an bagi menanam pelbagai tanaman sebelum durian menjadi popular pada 1990-an, kata Adun Tras, Chow Yi Hui.
Sebahagian mereka masih mempunyai permit dan resit permit yang dikeluarkan pada 1970-an oleh Pejabat Tanah Raub kepada waris terdahulu dan kini penanam generasi kedua menggunakan ia bagi membuktikan mereka memperoleh kebenaran mengusahakan tanah tersebut.
Chow memberitahu The Malaysian Insight yang penanam durian kini bergabung di bawah Perikatan Selamatkan Musang King (Samka) untuk memprotes syarat tidak adil dalam usaha kerajaan negeri Pahang memutihkan status tanah ladang yang tidak berdaftar, sebelum ini mendapat permit menghasilkan tanaman di kawasan itu.
Chow berkata pada tahun 1970-an, perdana menteri kedua Abdul Razak Hussien memperkenalkan “Rancangan Buku Hijau” yang menggalakkan masyarakat luar bandar berkebun di tanah tidak digunakan dengan sayur-sayuran dan buah-buahan untuk meningkatkan bekalan makanan tempatan.
Chow membangkitkan perkara ini sebagai respons kepada konsortium Royal Pahang Durian Group (RPDG), yang mendakwa penanam durian mempraktikkan pendekatan “tanam dahulu, daftar kemudian” terhadap dusun mereka dan bukannya mendapatkan permit.
“Pekebun ini tidak mengamalkan pendekatan ‘tanam dahulu, daftar kemudian’ seperti didakwa, tetapi mereka diberi izin untuk menanam dan menghasilkan tanaman pada tahun 1970-an. Sebahagian dokumen tersebut bertarikh 1976.

“Walaupun tidak semuanya, kebanyakannya dikeluarkan permit oleh pejabat tanah,” kata Chow kepada The Malaysian Insight.
Samka kini menegaskan mereka sekian lama cuba mendapatkan permit untuk kebun durian selama bertahun-tahun tetapi tidak pernah dilayan.
Mereka memprotes syarat skim untuk “menghalalkan status” kebun haram mereka dan untuk mencegah pencerobohan tanah bagi pembesaran ladang durian.
Skim ini memberi hak kepada Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd untuk pajakan dan hak guna tanah seluas 5,357 ekar (2,168 hektar di daerah Raub untuk jangka masa 30 tahun dan ditambah 30 tahun lagi).
Syarikat itu, usaha sama antara RPDG dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang, dianugerahkan pajakan pada 24 Jun.
Kontrak syarikat yang ditawarkan kepada pekebun durian itu merangkumi levi RM6,000 per 0.4 hektar untuk tahun ini, dan untuk menjual Musang King Gred A pada kadar tetap RM30 sekilogram kepada syarikat itu hanya untuk 2020 dan 2021.
Ini jauh lebih rendah daripada harga pasaran yang puratanya berharga RM45 sekilo, sementara levi yang dikenakan bermaksud petani dengan keluasan 4 hektar perlu membayar sewa RM60,000 setahun.
Anggota Samka berkata mereka ditekan agar menandatangani kontrak dengan ancaman tindakan undang-undang.
Walaupun permit dikeluarkan oleh pejabat tanah pada tahun 1970-an belum diperbaharui, Chow berkata keberadaan mereka dapat membuktikan pekebun tidak menduduki atau menceroboh tanah secara haram, dan mereka berada di tanah tersebut sebagai sebahagian daripada Rancangan Buku Hijau Razak.
Chow menunjukkan kepada The Malaysian Insight permit dan resit dari Pejabat Tanah Raub bertarikh 1976 kepada seorang pekebun bernama Liong Kim Chee, tetapi ia kini diusahakan oleh adiknya Liong Kin Min, 63, dengan menanam durian.

“Abang saya tidak menanam durian ketika itu. Mereka mencuba banyak tanaman dan buah-buahan, termasuk laici, pisang, koko, tetapi semuanya jangka pendek. Mereka mula menanam durian lebih 20 tahun lalu kerana mahukan sesuatu dengan hasil jangka panjang,” kata Liong kepada The Malaysian Insight.
Chow juga menunjukkan lakaran peta menunjukkan kawasan tanah yang diperuntukkan kepada para pekebun di kawasan tersebut di bawah Rancangan Buku Hijau.
“Pekebun Raub menyahut seruan kerajaan (ketika itu), dan banyak daripada mereka meneruskan karier mereka sebagai petani dengan lesen pekerjaan sementara (TOL).
“Namun, kerajaan negeri Pahang sekarang tidak menghargai usaha para petani ini yang membuat permohonan rasmi untuk tanah tersebut,” kata Chow.
Beliau menambah, terdapat kes seorang pekebun di Pahang yang memperoleh geran tanah daripada kerajaan dengan konsetep “tanam dahulu, daftar kemudian”. Justeru, salah bagi RPDG menuduh petani durian Raub melakukan hal yang sama.
Petani dengan Samka berkata mereka bersedia berurusan dengan kerajaan negeri secara langsung untuk memulihkan status kebun durian mereka di sisi undang-undang, termasuk membayar sewa, levi dan cukai dengan harga yang lebih adil.
Mereka tidak mahu berurusan dengan syarikat yang dilantik untuk menangani masalah ini kerana harganya yang terlalu tinggi dan berat sebelah.
Samka melantik peguam dan merancang untuk meminta injuksi menghentikan syarikat dan kerajaan negeri daripada mengambil tindakan terhadap petani. – 26 Ogos, 2020.
Komen