THAILAND mencatatkan lima lagi kes baharu Covid-19 menjadikan keseluruhan setakat ini berjumlah 3,402 jangkitan, lapor agensi berita Thailand (TNA).
Menurut Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19, kes baharu itu melibatkan seorang pengusaha warga Thailand berusia 26 tahun yang kembali dari Oman pada 17 Ogos. Dia dikuarantin di wilayah Chon Buri dan tidak menunjukkan sebarang gejala, diuji positif pada pemeriksaan kedua.
Sementara itu, seorang wanita berusia 47 tahun bekerja di spa, balik dari Turki pada 19 Ogos dan menjalani kuarantin di Bangkok disahkan dijangkiti virus berkenaan selepas menjalani saringan kali kedua pada 23 Ogos. Beliau juga tidak menunjukkan sebarang gejala.
Dua lagi kes membabitkan lelaki berusia 27 tahun dan wanita berumar 20 tahun masing-masing baru pulang dari Indonesia. Mereka dikuarantin di Chon Buri, didapati positif Covid-19 pada 23 Ogos.
Kes kelima melibatkan pekerja lelaki berusia 46 tahun yang kembali dari Amerika Syarikat pada 23 Ogos.
Sehingga kini Thailand mencatatkan 3,402 jangkitan termasuk 3,229 kes pulih manakala jumlah korban pula seramai 58 orang. – Bernama, 25 Ogos, 2020.
Komen