KKM siasat isu tuntutan elaun tidak dibayar kepada pegawai perubatan


Ragananthini Vethasalam

Isu pembayaran elaun pegawai perubatan yang tertangguh timbul selepas laman web berita kesihatan menyiarkan aduan seorang indivdu tidak bernama mengenainya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Ogos, 2020.

JABATAN kewangan Kementerian Kesihatan sudah diarah menyiasat isu pegawai perubatan yang tidak menerima elaun di beberapa hospital awam, termasuk Sungai Buloh, kata Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.

“Ini tidak menjejaskan semua hospital tetapi beberapa hospital sahaja. Saya diberitahu tuntutan yang dikemukakan tidak lengkap,” kata ketua pengarah kesihatan pada sidang media hari ini.

“Apa yang lebih penting, kita harus mengatasi hal ini secepat mungkin.”

Beliau berkata demikian susulan sebuah artikel di laman web berita kesihatan Code Blue yang melaporkan surat tanpa nama oleh seorang pegawai perubatan yang membangkitkan isu tuntutan yang belum dibayar.

Pegawai perubatan itu mendakwa doktor masih belum mendapat elaun penempatan semula selepas ditugaskan dari hospital lain untuk bertugas di barisan hadapan menangani Covid-19 di Hospital Sungai Buloh pada Mac.

Noor Hisham berkata situasi itu “tidak betul” memandangkan ia menjejaskan mereka yang berkhidmat di barisan hadapan. – 25 Ogos, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen