Tiada kes kanak-kanak jadi perebak utama Covid-19, kata Noor Hisham


Ragananthini Vethasalam

Walaupun terdapat peratusan kes tertentu yang melibatkan kanak-kanak, tetapi mereka bukan perebak utama Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Ogos, 2020.

KEMENTERIAN Kesihatan belum mengesan sebarang kes kanak-kanak menjadi perebak utama (super spreader) Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

“Ada laporan seperti itu, tetapi kami tidak mengesan ada kanak-kanak yang menjadi penyebar aktif dalam kelompok berkaitan. Terdapat peratusan kes tertentu yang melibatkan kanak-kanak, tetapi mereka bukan super spreader,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau ditanya mengenai sebuah kajian oleh Massachusetts General Hospital, yang mendapati kanak-kanak dijangkiti boleh menjadi pembawa virus tahap tinggi walaupun mereka mempunyai sedikit atau tanpa gejala.

Kluster Tawar hari ini mencatatkan lima jangkitan baharu, yang semuanya melibatkan murid sekolah rendah.

Noor Hisham berkata, sekolah yang terlibat sudah ditutup.

Jangkitan terbaru dalam kluster Tawar adalah generasi ketiga, dan ada kemungkinan kanak-kanak itu dijangkiti daripada ibu bapa, seterusnya menjangkiti rakan sekolah lain, tambahnya. – 25 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen