Bekas timbalan menteri cadang penanam durian tubuh koperasi


Mohd Farhan Darwis

Sim Tze tzin berkata melalui penubuhan koperasi, petani boleh mendapatkan perjanjian yang adil. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Ogos, 2020.

BEKAS timbalan menteri pertanian Sim Tze Tzin mencadangkan petani durian Musang King di Raub, Pahang menubuhkan koperasi agar mereka mempunyai kuasa tawar menawar dengan kerajaan negeri, berhubung isu tanah mereka.

Melalui penubuhan koperasi itu, Sim berkata, petani juga berupaya mendapatkan perjanjian yang adil.

“Kalau mereka boleh tubuh koperasi, mereka boleh dapatkan perjanjian yang lebih baik dan menang-menang dengan pihak syarikat,” katanya, dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Isu petani durian Musang King dengan syarikat Royal Pahang Durian, sebuah syarikat tujuan khas (SPV) milik kerajaan negeri Pahang, tercetus apabila syarikat berkenaan mengambil alih tanah mereka dan didakwa mahu memonopoli pasaran durian.

Syarikat berkenaan juga dikatakan menetapkan harga tertentu kepada petani yang tidak berdaftar dan menimbulkan kemarahan mereka.

Sebagai tanda bantahan, beberapa petani semalam dilaporkan menebang pokok durian mereka.

Sim, yang juga ahli Parlimen Bayan Baru berkata, tujuan kerajaan Pahang itu adalah untuk memutihkan status tanah ladang yang tidak berdaftar, selain industri durian dapat dikawal selia bagi membolehkan mutu dan kualiti durian terjamin untuk pasaran eksport.

“Saya tidak menolak ada tujuan yang baik dari kerajaan negeri untuk memutihkan tanah tidak berdaftar supaya industri durian teratur dan menjaga mutu dan kualiti durian dan memenuhi syarat MyGAP,” katanya.

Sim berkata, melalui kaedah itu kerajaan negeri Pahang juga dijangka mampu menambah pendapatan negeri sehingga RM500 juta setahun.

Namun, kerajaan negeri Pahang katanya harus berlaku adil kepada petani yang memgusahakan ladang sejak lebih 40 tahun lalu.

“Kerajaan negeri Pahang haruslah berlaku adil kepada pihak petani. Hasil titik peluh dan pengorbanan para petani, barulah ada durian Musang King yang menyebarkan nama harum Raub, Pahang dan Malaysia ke serata dunia,” katanya.

Pihaknya sehubungan itu mencadangkan kerajaan negeri Pahang menjadi pemudahcara antara petani dan syarikat Royal Pahang Durian untuk mencari penyelesaian yang berbentuk menang-menang. – 25 Ogos, 2020.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen