Biar polis siasat Khairuddin, kata menteri kanan


Ravin Palanisamy

Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata Dr Mohd Khairuddin Aman Razali boleh dikenakan hukuman lebih berat kerana melanggar perintah kuarantin jika siasatan polis mendapati dia bersalah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Ogos, 2020.

MENTERI Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Dr Mohd Khairuddin Aman Razali boleh dikenakan hukuman lebih berat kerana melanggar perintah kuarantin jika siasatan polis mendapati dia bersalah, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Ismail berkata kes itu kini sedang disiasat oleh polis berikutan protes orang ramai selepas menteri itu hanya didenda RM1,000 oleh Kementerian Kesihatan kerana melanggar perintah kuarantin setelah kembali dari Turki.

Pada 23 Ogos Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata bahawa Khairuddin sedang disiasat kerana melanggar perintah kuarantin.

Ismail hari ini berkata polis perlu diberi masa dan ruang untuk menyelesaikan siasatan mereka.

“Untuk membawa kes ke mahkamah, ia mesti disiasat terlebih dahulu oleh polis.

“Kertas siasatan kemudian harus diserahkan ke Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya,” kata menteri kanan berkenaan. 

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam berkata bahawa kes Khairuddin perlu diserahkan kepada pihak berkuasa dan prosedur yang betul harus dipatuhi.

“Jadi, biar polis siasat. Kita serahkan kepada mereka,” kata Ismail Sabri, yang juga Menteri Pertahanan pada sidang media Covid-19 di Parlimen hari ini.

Khairuddin, yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus hadir ke Parlimen dan acara di kawasannya setelah pulang dari Turki.

Ahli parlimen DAP Teresa Kok membangkitkan hal ini di Parlimen minggu lalu.

Khairuddin meminta maaf kepada rakyat Malaysia dan berkata bahawa dia akan menyumbangkan empat bulan gaji kepada tabung Covid-19 kerajaan untuk menebus kesalahannya.

Mengenai dakwaan bahawa ahli keluarga Khairuddin juga mengikutinya ke Turki ketika rakyat Malaysia dilarang melakukan perjalanan ke luar negara, Ismail Sabri berkata bahawa dia tidak pasti sama ada menteri itu hanya mengunjungi Turki, atau dengan orang lain.

“Saya hanya tahu menteri berkenaan. Siapa pun yang ikut dia, saya tidak pasti,” kata Ismail.

Khairuddin minggu lalu berkata bahawa dia telah menjalani ujian saringan Covid-19 sebanyak tiga kali sejak kembali dari Turki dan semua keputusannya adalah negatif. – 25 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen