PUTRAJAYA sedang meneliti pelanjutan khidmat pegawai perubatan kontrak bagi membolehkan mereka menjalani latihan kepakaran, kata Menteri Kesihatan Adham Baba, hari ini.
Katanya di Dewan Rakyat, keputusan itu bagaimanapun akan dibuat kerajaan.
Adham yang juga ahli Parlimen Tenggara, menjawab soalan Ahmad Jazlan Yaakub (Machang-BN) sama ada kementerian merancang memberikan pegawai perubatan kontrak faedah yang sama dengan pegawai perubatan tetap memandangkan bidang tugas mereka serupa.
Katanya, kementerian juga sedang menyiapkan kertas cadangan bagi pembentangan di Kabinet bagi penyelarasan gred perkhidmatan awam UD41 dan UD43, kerana bidang tugas kedua-dua gred itu sama walaupun tangga gaji berbeza.
Tangga gaji untuk pegawai perubatan kontrak UD41 adalah antara RM2,947 sehingga RM9,656 dengan kenaikan gaji tahunan sebanyak RM225, sementara pegawai perubatan tetap gred UD43 dibayar antara RM3,611 dan RM10,560 dengan kenaikan tahunan RM250.
Pegawai perubatan tetap juga layak memohon skim Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) membolehkan mereka melanjutkan pengajian kepakaran dengan tajaan biasiswa kerajaan.
Bagi mereka yang tidak menerima HLP, Adham berkata pegawai tersebut masih boleh menjalani latihan kepakaran menerusi sistem “parallel pathway” (pengajian berkembar).
Adham berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Dr Kelvin Yii (Bandar Kuching-PH) berkaitan penangguhan kenaikan pangkat pegawai gred UD41 kepada UD43.
Keputusan menaikkan pangkat mereka dibuat pentadbiran Pakatan Harapan pada November tahun lepas, kata Yii.
Beliau turut mempersoalkan tentang tempoh lanjutan yang akan dicadangkan dan garis masa pelaksanaannya. – 25 Ogos, 2020.
Komen