COVID-19 mungkin menjangkiti lelaki terpantas dunia, raja pecut Usain Bolt, yang semalam berkata beliau akan menjalani kuarantin kendiri selepas melakukan ujian saringan.
Bolt, tidak mengesahkan sama ada beliau sudah menerima keputusan ujian, mengumumkan perkara itu ketika kerajaan negara dunia semakin memperketatkan kawalan pergerakan, apabila wabak virus bahaya itu sudah menjangkiti 24 juta orang dan membunuh lebih 800,000 sedangkan vaksin virus itu masih belum ditemui.
Pengumuman itu dibuat selepas pengkaji di Hong Kong mengesahkan mereka menemui kes pertama jangkitan semula Covid-19, membangkitkan persoalan tentang kekebalan imuniti badan, sama ada yang diperolehi secara semulajadi atau dengan vaksin.
Ada laporan mendakwa Bolt diuji positf virus maut itu. Dalam rakaman video dimuat naik di Twitter, raja pecut warga Jamaica itu berkata beliau tidak bergejala tetapi menggesa rakan yang menjadi kontak rapatnya mengambil langkah pencegahan.
“Saya cuba bertanggungjawab, jadi saya akan berkurung untuk keselamatan,” katanya, menambah yang beliau menjalani ujian pada Sabtu.
Akhbar Britain, Guardian, melaporkan yang rakan-rakannya menganjurkan majlis sambutan hari lahir mengejut pada malam sebelum Bolt menjalani ujian, majlis itu dihadiri bintang sukan lain termasuklah bintang bola sepak Manchester City, Raheem Sterling.
Juara Olimpik lapan kali yang juga pemegang rekod dunia 100m dan 200m, Bolt kali terakhir bertanding pada Kejuaraan Dunia 2017 di London.
Sementara itu, di seluruh dunia, pakar masih belum yakin tentang kesan pengumuman doktor Hong Kong yang mengesahkan bekas pesakit virus yang sudah pulih dan diandaikan mempunyai imuniti tetapi dilaporkan dijangkiti Covid-19 sekali lagi.
Pesakit berkenaan, lelaki berusia 33 tahun di Hong Kong, diuji positif pada Mac, tetapi selepas dua ujian disahkan negatif sebelum disahkan positif sekali lagi pada Ogos.
Pendemik melanda dunia itu menjejaskan ekonomi global dan dasar mengurangkan risiko jangkitan himpunan massa memberi kesan kepada banyak sektor termasuklah sukan, agama, muzik dan pilihan raya.
Usaha berterusan untuk membangunkan vaksin atau rawatan berkesan sedang dibuat di seluruh dunia, tetapi sehingga ia ditemui, langkah penjarakan sosial adalah salah satu kaedah terbaik melawan virus itu. – AFP, 25 Ogos, 2020.
Komen