Komplot seleweng dana Covid-19, Uganda panggil balik duta


Duta Nimisha Madhvani, timbalan dan kakitangan kedutaan didengar berkomplot untuk menyeleweng duit yang sepatutnya digunakan membantu rakyat Uganda yang terkandas kerana Covid-19. – Gambar Facebook, 25 Ogos, 2020.

UGANDA semalam memanggil balik duta dan timbalan dutanya ke Denmark selepas mereka dirakam berkomplot merompak dana krisis Covid-19 dalam mesyuarat menerusi aplikasi Zoom.

Semasa mesyuarat itu, yang rakamannya tular di media sosial, Duta Nimisha Madhvani, timbalan dan kakitangan kedutaan didengar berkomplot untuk menyeleweng duit yang sepatutnya digunakan membantu rakyat Uganda yang terkandas kerana Covid-19.

Mereka didengar mencadangkan berbanding mendaftarkan wang itu sebagai bantuan Covid-19, ia sepatutnya digunakan sebagai elaun lapan hari untuk para diplomat.

“Beri diri anda sendiri AS$4,000,” Timbalan Duta Elly Kamahungye didengar berkata, mengakui akan wujud “akaun bertindih” dan mengingatkan yang para diplomat boleh merasuah juruaudit untuk menutup siasatan ke atas akaun kedutaan sebelum ini.

Nimisha sendiri mencadangkan supaya kakitangan kedutaan “mencari jalan” untuk menggunakan wang itu.

Setiausaha Tetap Kementerian Luar Uganad Patrick Mugoya berjanji siasatan penuh akan dijalankan dalam kenyataan dikeluarkan semalam, berkata, “kementerian meluahkan kebimbangan besar terhadap tuduhan itu dan memandang serius perkara berkenaan.”

“Buat ketika ini, pegawai terlibat sudah dipanggil balik ke ibu pejabat kementerian bagi membolehkan siasatan dijalankan.” – AFP, 25 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen