PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan ke atas menteri PAS Khairuddin Aman Razali yang didapati melanggar perintah kuarantin wajib.
Kerajaan memandang serius kes tersebut dan tiada sesiapapun terlepas daripada undang-undang, katanya merujuk perintah kuarantin itu yang dikuatkuasa untuk membendung penularan Covid-19.
“Kerajaan Perikatan Nasional berpendirian bahawa setiap rakyat Malaysia adalah tertakluk di bawah undang-undang negara dan tidak ada sesiapa pun yang terkecuali.
“Sehubungan itu, saya serahkan kepada pihak berkuasa yang berkenaan bagi menjalankan siasatan yang menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut proses undang-undang,” katanya.
Beliau menegaskan demikian walau pemimpin PAS dari kerajaan pimpinannya mengeluarkan kenyataan mempertahankan tindakan ahli Parlimen Kuala Nerus tersebut.
Polis mengesahkan membuka kertas siasatan ke atas Khairuddin selepas menerima lebih 20 aduan ke atas menteri tersebut.
Kementerian Kesihatan pada Sabtu lalu mengumumkan Khairuddin sudahpun dikenakan kompaun RM1,000 pada 1 Ogos dan sudahpun menjelaskannya.
Pengumuman itu menyebabkan pelbagai pihak berang kerana ia jauh lebih rendah dari hukuman yang dikenakan ke atas orang awam bagi kesalahan serupa.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah semalam menjelaskan denda RM1,000 itu merupakan kadar maksimum bagi kesalahan tersebut.
Bagaimanapun kes Khairuddin melanggar perintah kuarantin wajib itu masih disiasat polis, katanya.
Seorang wanita warga emas yang melanggar perintah sama dipenjara sehari dan didenda RM8,000 pada 14 Ogos kerana ingkar perintah pengawasan dan pemerhatian ketika tempoh kuarantin wajib.
Beliau ditangkap selepas menjamu selera di sebuah restoran semasa tempoh kuarantin.
Sehari sebelumnya, seorang pemilik restoran nasi Kandar dijatuhkan hukuman penjara lima bulan dan denda RM12,000.
Lelaki 57 tahun itu juga didapati bersalah ke atas pertuduhan mengingkari perintah pengawasan dan pemerhatian dalam tempoh kuarantin wajib.
Beliau juga didapati mencetuskan rantaian baharu jangkitan di kalangan pengunjung dan pekerja kedai makan itu yang dikenali sebagai kluster Sivagangga.
Khairuddin pula dilaporkan menghadiri pelbagai acara dan menemui ramai individu sebaik pulang dari Turki, termasuk menghadiri sidang Parlimen dan acara di Istana Negara bersama Yang di-Pertuan Agong.
Sekiranya dikenakan denda sekurang-kurangnya RM2,000 atau penjara lebih daripada setahun, Khairuddin berisiko hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen. – 24 Ogos, 2020.
Komen