Pembangkang mahu tambahan dana untuk lonjak ekonomi, kata Anwar


Ragananthini Vethasalam Mohd Farhan Darwis

Ketua pembangkang Anwar Ibrahim berkata pihaknya sedia sokong kerajaan jika peruntukan bantuan rakyat ditambah.

PEMBANGKANG sedia menyokong kerajaan jika ia mahu menambah jumlah bantuan kepada rakyat dan meningkatkan ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19, kata Anwar Ibrahim hari ini.

Ketua pembangkang itu berkata peruntukan RM45 bilion di bawah Rang Undang-undang Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19)) 2020 tidak an cukup memandangkan penguncupan 17.1% Kadar Keluaran Dalam Negeri (KDNK) negara pada suku kedua tahun ini.

Walapun mencatatkan KDNK paling lemah berbanding negara jiran, peruntukan keseluruhan Malaysia RM290 bilion menerusi tiga pakej rangsangan ekonomi, adalah antara terendah, kata Anwar di Dewan Rakyat, memetik data Jabatan Statistik.

Pakej rangsangan ekonomi Malaysia menyumbang 3% daripada KDNK negara.

Anwar mendesak Kementerian Kewangan mempertimbangkan secara serius untuk menyuntik lebih banyak dana dan meningkatkan usaha untuk pemulihan ekonomi.

Fokus kini sepatutnya terhadap rangsangan pertumbuhan ekonomi, kata Anwar.

Ahli Parlimen Port Dickson itu menjelaskan berkenaan penolakan pembangkang terhadap RUU Perbekalan (Peruntukan Belanja Yang Diperuntukkan) 2020 pada 17 Ogos, berkata penambahan peruntukan itu untuk kementerian dan bukan pemulihan ekonomi atau kebajikan rakyat.

“Apa yang kami tolak ialah pembaziran peruntukan kepada kementerian yang rasakan tidak fokus kepada pemulihan ekonomi, atau pakej rangsangan untuk membantu mereka yang hilang pekerjaan.

“Sebab itu hari ini kami di sini bukan saja untuk sokong tetapi mencadangkan kepada menteri kewangan supaya mempertimbangkan penambahan peruntukan berskala besar untuk menaikkan kesan positif kepada ekonomi,” kata Anwar.

RUU itu akan dibahaskan oleh ahli Parlimen dan diundi pada hari ini.

Anwar berkata penambahan dana tidak boleh digunakan untuk menteri atau menambah jumlah jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan.

Mentri kewangan, katanya perlu memastikan ketelusan yang tiada ketirisan berlaku dan peruntukan digunakan untuk kepentingan rakyat. – 24 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen