Hukuman langgar kuarantin bagai filem ‘Antara Dua Darjat’, kata Mahfuz


Ragananthini Vethasalam Mohd Farhan Darwis

Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar berkata perbezaan hukuman orang awam dan menteri kerana melanggar perintah kuarantin Covid-19 macam filem klasik Antara Dua Darjat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Ogos, 2020.

AHLI Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar hari ini menyamakan perbezaan hukuman yang dikenakan terhadap orang awam dan seorang menteri kerana melanggar perintah kuarantin Covid-19, dengan filem klasik P Ramlee – “Antara Dua Darjat”.

Mempertikaikan berat sebelah dalam hukuman itu di Dewan Rakyat hari ini, wakil rakyat Amanah itu bertanya kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Redzuan Yusof, adakah kerajaan melindungi menteri terbabit, tetapi mengenakan hukuman lebih berat kepada orang awam.

“Rakyat lihat keadaan ini sebagai penguatkuasaan antara dua darjat, sama seperti P Ramlee and S Kadarisman.

“Nampaknya orang awam seperti makcik gelang pink dan Salleh (daripada kluster Sivagangga) dihukum, tetapi menteri itu dilindungi dengan kompaun RM1,000 sedangkan pelanggaran perintahnya 10 kali lebih teruk,” kata Mahfuz ketika mohon untuk bertanya soalan tambahan.

Menteri terbabit ialah Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Khairuddin Aman Razali yang melanggar arahan kuarantin selepas pulang dari Turki pada Julai.

Isu itu dibangkitkan oleh wakil rakyat DAP Teresa Kok.

Khairuddin dikenakan denda RM1,000 pada 7 Ogos.

Sebaliknya, Salleh yang disebut oleh Mahfuz ialah nama pemilik restoran nasi kandar di Kedah, daripada kluster Covid-19, dikenakan hukuman penjara lima bulan dan denda RM12,000 kerana melanggar kuarantin.

Seorang lagi orang awam dihukum ialah seorang wanita di Perak yang dirakamkan gambarnya di sebuah kedai makan, memakai gelang kuarantin merah jambu. Beliau dihukum penjara sehari dan denda RM8,000 pada 14 Ogos.

Khairuddin dikecam di media sosial, dan petisyen diwujudkan mendesak peletakan jawatannya.

Di Dewan Rakyat, Abdul Azeez Rahim (Baling-BN) mencelah Mahfuz dengan cubaan membela Khairuddin, dengan berkata menteri itu patut dipuji kerana beliau ke Turki dan pulang ke tanah air, membawa pelaburan bernilai berbilion ringgit.

Respons kepada Mahfuz, Redzuan berkata tidak ada berat sebelah dalam hukuman.

“Menteri itu sudah membayar kompaun seperti ditetapkan dalam undang-undang.” – 24 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen