TIADA sesiapa lebih tinggi daripada undang-undang, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali berhubung isu pelanggaran arahan kuarantin oleh Menteri Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Khairuddin Aman Razali.
“Undang-undang digubal bukan untuk seksa sesiapa tetapi untuk menyelamatkan nyawa. Yang di-Pertuan Agong dan perdana menteri pun pernah menjalani kuarantin di rumah atau dikenakan arahan pemantauan rumah,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Noor Azmi yang juga ahli Parlimen Bagan Serai berkata berdasarkan kepada Akta Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), kadar kompaun maksimum ialah RM1,000.
Bagaimanapun, katanya bagi kes lebih serius yang disiasat polis atau dibawa ke mahkamah, hukuman akan ditentukan pihak berkaitan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa-Pakatan Harapan) berkenaan sama ada hukuman lebih berat patut dikenakan kepada VIP seperti menteri yang sepatutnya jadi contoh kepada orang lain.
Wakil rakyat pembangkang mempertikaikan tentang hukuman berat sebelah yang dikenakan antara orang awam dan menteri.
Shamsul Iskandar (Hang Tuah Jaya-PH) berkata:”Orang awam kena penjara, menteri tidak.”
Sementara itu, Mahfuz Omar (Pokok Sena-PH) berkata mereka yang melanggar SOP dibawa ke mahkamah sejak April tetapi perkara sama tidak dilakukan terhadap kes Khairuddin.
Bagaimanapun, mikrofonnya dipadam oleh Timbalan Speaker Mohd Rashid Hasnon berkata ini adalah sesi soal jawab dan bukannya bahas, sebelum teruskan kepada soalan berikutnya.
Khairuddin didenda RM1,000 pada 7 Ogos kerana melanggar arahan kuarantin selepas pulang dari Turki.
Pengkritik mengecamnya dan kerajaan Perikatan Nasional kerana melanggar SOP. – 24 Ogos, 2020.
Komen