Kelab malam langgar sekatan Covid-19, 13 maut dipijak


Polis menyerbu sebuah kelab malam yang mengadakan parti melanggar perintah berkurung Covid-19 di Peru, menyebabkan panik tercetus dan 13 maut dipijak. – Gambar AFP, 24 Ogos, 2020.

SEKURANG-KURANGNYA 13 anak muda maut terhimpit dalam serbuan ke atas sebuah kelab malam di Peru, yang mengadakan parti melanggar sekatan Covid-19, lapor polis dan media.

“Selepas operasi polis di sebuah kelab malam di kejiranan Los Olivos, 13 orang maut,” kata Ketua Polis Peru Jeneral Orlando Velasco kepada radio RPP.

23 orang ditahan kerana terlibat dalam parti itu yang dibimbangi pegawai kesihatan akan jadi majlis penyebar virus, 15 orang daripada mereka kemudiannya diuji positif Covid-19, kata polis.

Amerika Latin terjejas teruk kerana wabak, dan pegawai Peru bulan ini mengenakan sekatan lebih ketat untuk pergerakan dan himpunan besar.

Peru adalah negara ketiga paling teruk terjejas- selepas Brazil dan Mexico- melaporkan 27,453 kematian wabak sejak Mac lalu.

Majlis hari lahir haram pada Sabtu itu dianjurkan menerusi media sosial dan menarik hadirin sekitar 120 orang, kebanyakan mereka berusia 20-an sehingga 30-an, di sebuah kelab malam sah bernama Thomas Restobar, kata Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan.

“Berdepan operasi polis, yang tidak menggunakan sebarang senjata atau gas pemedih mata, hadirin parti itu cuba melarikan diri melalui sebuah pintu keluar, berhimpit-himpit antara satu sama lain dan terperangkap di kawasan tangga,” kata kementerian.

Tindakan polis dibuat sejam sebelum penguatkuasaan perintah berkurung malam hari dicetuskan laporan kejiranan yang melaporkan himpunan haram sedang berlaku.

Bagaimanapun, hadirin parti dan penduduk berhampiran kelab malam itu menolak kenyataan kementerian.

“Nampaknya polis masuk dan melemparkan gas pemedih mata, memerangkap mereka di dalamnya,” kata seorang penduduk kepada RPP.

Korban termasuklah 12 wanita dan seorang lelaki, menurut Menteri Wanita Rosario Sasieta yang melawat tempat kejadian dan mangsa di hospital.

“Ia tak sepatutnya berlaku. Kita dalam pandemik, dalam kecemasan kesihatan. Saya mendesak hukuman maksimum dikenakan ke atas pemilik kelab,” katanya kepada RPP.

Undang-undang Peru mengenakan denda AS$110 atau hukuman penjara ke atas pesalah sekatan pergerakan bagi mengekang penularan Covid-19.

Enam orang termasuk tiga anggota polis dan tiga orang awam cedera dalam kejadian itu, kata kementerian.

Pihak berkuasa masih cuba mengenal pasti penganjur parti dan pemilik kelab.

Saksi berkata kejadian bermula apabila anggota polis memasuki kelab dan mengarahkan wanita keluar terlebih dahulu.

Panik tercetus apabila beberapa orang lelaki yang bimbang ditahan bergegas ke pintu keluar sehingga berlaku kejadian pijak memijak.

Peru dengan penduduk 33 juta orang melaporkan 585,000 kes Covid-19. Bulan ini, negara itu mengenakan perintah berkurung pada malam Ahad.

Perintah berkurung malam hari bermula sejak 16 Mac, sempadan negara ditutup dan sekolah dan institut pengajian tinggi ditunda sepanjang tahun ini. – AFP, 24 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen