PAKATAN Harapan (PH) Sabah akan berbincang dengan beberapa parti negeri ini hari ini berkaitan kerusi yang akan dipertandingkan dalam pilihan raya akan datang.
Setakat ini, sumber dalaman mengatakan PH Sabah telah menamakan Parti Warisan dan Parti Cinta Sabah sebagai antara parti gabungan nanti, selain kemungkinan tidak memasukkan United Sabah Alliance (USA) ke dalam senarai pakatan pembangkang.
“Ini sebab ahli USA telah nasihat PH Sabah untuk tinggalkan Sabah dan biarkan parti pembangkang Sabah bertanding di Sabah,” kata sumber.
Namun, sumber itu tidak pula menamakan ahli mana yang berkata demikian namun dipercayai beliau merujuk kepada Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah Lajim Ukin yang pernah berkata kepada PH Sabah supaya biarkan parti asal Sabah yang membantu mereka mendapatkan Putrajaya.
USA merupakan gabungan pari pembangkang yang meliputi Sabah Solidariti Tanak Airku (Sabah Star), Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan), Sabah Progressive Party (SAPP) dan Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS).
“Kata-kata itu jelas ditujukan kepada kami untuk lepaskan semua kerusi kepada mereka. Ini tidak adil,” katanya.
Pada 25 November, Pengerusi DAP Sabah Stephen Wong menamakan Pengerusi DAP Keningau sebagai calon untuk kerusi Bingkor, yang menunjukkan mereka tidak berminat dengan ‘teguran’ USA itu.
Bingkor dipegang oleh Presiden Star Jeffrey Kitingan.
Menurut sumber, kelewatan menentukan pemilihan kerusi antara PH Sabah kerana ketidaktentuan majlis untuk memasukkan 13 kerusi baharu dalam senarai.
Kerusi dewan undangan negeri yang dicadangkan itu ialah Bengkoka, Menggaris, Pintasan, Pantai Dalit, Darau, Tanjung Dumpil, Dampai, Tulid, Telupid, Sungai Manila, Lamag, Segama dan Kukusan.
Kesemua kerusi itu berada dalam kawasan Parlimen Kudat, Kota Marudu, Kota Belud, Tuaran, Sepanggar, Putatan, Papar, Pensiangan, Beluran, Libaran, Kinabatangan, Silam dan Kalabakan.
“Dalam kerusi-kerusi itu, DAP Sabah dijangka akan bertanding antara lima atau enam kerusi Parlimen dan 12 atau 18 kerusi dewan negeri,” kata sumber itu.
Ini termasuklah kerusi parlimen dan kerusi dewan negeri Sabah yang dipegang dan dimenangi dalam pilihan raya lepas.
DAP Sabah menyandang kerusi Parlimen Kota Kinabalu dan Sandakan, selain Sri Tanjong, Kapayan, Luyang dan Likas untuk kerusi dewan negeri.
Walaupun parti itu mungkin berikan Likas kepada Warisan yang disandang oleh naib Presiden Junz Wong dan Sri Tanjoin (dipegang oleh Setiausaha DAP Chan Foong Hin), DAP Sabah masih akan tentukan calon yang sesuai untuk Kepayan dan Luyang.
Luyang sekarang dipegang MCA Hiew KIng Chew dan Kepayan oleh Dr Edwin Bosi yang baru menyertai Parti Anak Negeri (PAN).
Kedua mereka menang kerusi dewan negeri ketika bersama DAP. – 9 Disember, 2017.
Komen