POLIS Israel mengumumkan bahawa 30 penunjuk perasaan telah ditahan selepas ribuan berkumpul di Jerusalem menuntut Perdana Menteri Benjamin Netanyahu mengundurkan diri.
Para demonstran dilihat berkumpul dan melaungkan “Menteri Jenayah” dan “Kamu dipecat”. Berkumpul di hadapan kediaman rasmi perdana menteri pada Sabtu malam, mereka turut dilihat menyaksikan persembahan kugiran.
Media tempatan menganggarkan jumlah peserta adalah sekitar 10,000.
Satu kenyataan polis berkata bahawa terdapat keganasan semasa himpunan tunjuk perasaan tersebut dan beberapa pegawai tercedera.
“Semasa tunjuk perasaan, tiga anggota polis dicederakan penunjuk perasaan,” kata polis.
Tiga dari mereka yang ditangkap akan hadir di mahkamah pada hari Ahad, kata kenyataan tersebut.
Protes menuntut agar Netanyahu mengundurkan diri semakin mendapat tempat kebelakangan ini disebabkan beberapa dakwaan rasuah dan strateginya yang dilihat gagal menangani Covid-19.
Awal bulan ini, Netanyahu menuduh Channel 12 dan satu lagi stesen TV swasta, Channel 13, telah “menyebarkan propaganda demonstrasi sayap kiri anarkis” berhubung liputan luas mengenai demonstrasi membantah beliau.
Israel mendapat pujian atas tindakan awalnya terhadap pandemik Covid-19, namun kerajaannya mendapat kritikan apabila kes wabak itu meningkat selepas sekatan pergerakan ditarik semula pada akhir April.
Netanyahu sendiri mengakui bahawa ekonomi dibuka kembali terlalu cepat. – 23 Ogos, 2020.
Komen