PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin diumum sebagai presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) secara rasmi hari ini bagi penggal 2019 hingga 2022.
Sementara itu, Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu diumumkan sebagai timbalan presiden Bersatu bagi tempoh yang sama.
Kedua-dua mereka merupakan calon tunggal yang bertanding bagi jawatan berkenaan untuk penggal ini manakala jawatan bagi pengerusi parti tidak ditandingi oleh mana-mana individu.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan parti Syed Hamid Albar berkata tiga Naib Presiden yang dipilih pula ialah Menteri Pertanian dan Industri Makanan Dr Ronald Kiandee, Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Mohd Rafiq Naizamohideen.
“Seramai 23,438 perwakilan telah mengundi semasa persidangan bahagian yang telah berlangsung di seluruh negara semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata daripada 179 bahagian yang layak bersidang, 177 bahagian telah berjaya mengadakan persidangan manakala dua bahagian gagal bersidang kerana ketiadaan korum.
Menurutnya pada pemilihan julung kali diadakan itu, perwakilan turut memilih pengerusi tetap, timbalan pengerusi tetap dan 20 ahli Majlis Pimpinan Tertinggi.
Antara ahli Majlis Pimpinan Tertinggi ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Pertahanan Ikmal Hisham Abdul Aziz, Timbalan Menteri Kerja Raya Eddin Syazlee Shith dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Shabudin Yahaya.
Berikut merupakan keputusan rasmi pemilihan Majlis Pimpinan Tertinggi bagi penggal 2019-2022:
Pengerusi Tetap: Mohd Suhaimi Abdullah
Timbalan Pengerusi Tetap: Hashim Suboh
Pengerusi: -
Presiden: Muhyiddin Yassin
Timbalan Presiden: Ahmad Faizal Azumu
Naib Presiden: Ronald Kiandee, Dr Radzi Jidin dan Mohd Rafiq Naizamohideen
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi:
1. Ikmal Hisham Abdul Aziz
2.Abdul Hakim Gulam Hassan
3. Zainol Fadzi Paharudin
4. Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid
5. Razali Idris
6. Eddin Syazlee Shith
7. Mustapa Mohamed
8. Wan Saiful Wan Jan
9. Azlinda Abdul Latif
10. Mohd Taufik Yaacob
11. Mohd Rafiq Mohd Abdullah
12. Lajim Ukin
13. Suhaili Abdul Rahman
14. Dr Saharuddin Jamal
15. Mohamed Farid Mohamed Zawawi
16. Mohd Zulkifli Zakaria
17. Mohd Yazid Mohd Yunus
18. Shahbudin Yahaya
19. Rosol Wahid
20. Shamsilah Siru – Bernama, 23 Ogos, 2020.
Komen