Kompaun RM1,000 ke atas menteri PAS kadar maksimum, kata KP Kesihatan


Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mencetuskan kemarahan seluruh negara apabila didapati tidak patuh arahan kuarantin rumah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Ogos, 2020.

KOMPAUN RM1,000 ke atas menteri PAS Khairuddin Aman Razali merupakan kadar maksimum mengikut bidang kuasa Kementerian Kesihatan, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua pengarah kesihatan itu juga menjelaskan, siasatan polis masih berjalan ke atas ahli Parlimen Kuala Nerus itu yang tidak menjalani kuarantin wajib selepas pulang ke tanah air dari Turki.

Beliau berkata demikian bagi menjawab rungutan orang ramai ke atas bentuk hukuman ke atas menteri tersebut yang rendah berbanding pesalah lain dari kalangan orang awam.

“Kompaun maksimum mengikut Akta 342 adalah RM1,000 untuk mereka yang ingkar perintah peraturan dan Home Surveillance Order.

“Pun begitu PDRM (Polis Diraja Malaysia) sedang menjalankan siasatan susulan laporan polis,” kata Dr Noor Hisham di Twitter.

Beliau menjawab keluhan seorang pengguna media sosial itu yang kecewa kerana kadar hukuman tersebut terlalu rendah dibandingkan hukuman ke atas pihak lain.

Pengguna itu kecewa kerana hukuman tersebut tidak menunjukkan keadilan dan tanggungjawab kerajaan, serta tidak menjadi teladan kepada rakyat.

“RM1,000 sahaja untuk seorang menteri yang sepatutnya menjadi contoh untuk rakyat? Mana keadilan? Mana rasa tanggungjawab?” soal pengguna Twitter @Enon28.

Ia susulan kenyataan Kementerian Kesihatan semalam bahawa Khairuddin sudahpun dikenakan kompaun RM1,000 pada 7 Ogos – sebulan selepas pulang dari Turki – dan sudahpun menjelaskannya.

Kenyataan itu timbul beberapa hari selepas kementerian menyatakan akan menyiasat dakwaan bahawa Khairuddin tidak menjalani kuarantin wajib.

Kadar denda rendah itu menimbulkan kritikan pelbagai pihak termasuk dari kalangan pemimpin parti Perikatan Nasional yang mahu Khairuddin meletak jawatan.

Khairuddin seterusnya semalam mengumumkan akan memulangkan sebahagian wang gajinya untuk dimasukkan ke dalam tabung bencana Covid-19.

Sekiranya dikenakan denda sekurang-kurangnya RM2,000 atau penjara lebih daripada setahun, Khairuddin berisiko hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen.

Seorang wanita warga emas yang melanggar perintah sama dipenjara sehari dan didenda RM8,000 pada 14 Ogos kerana ingkar perintah pengawasan dan pemerhatian ketika tempoh kuarantin wajib.

Beliau ditangkap selepas menjamu selera di sebuah restoran semasa tempoh kuarantin.

Sehari sebelumnya, seorang pemilik restoran nasi Kandar dijatuhkan hukuman penjara lima bulan dan denda RM12,000.

Lelaki 57 tahun itu juga didapati bersalah ke atas pertuduhan mengingkari perintah pengawasan dan pemerhatian dalam tempoh kuarantin wajib.

Beliau juga didapati mencetuskan rantaian baharu jangkitan di kalangan pengunjung dan pekerja kedai makan itu yang dikenali sebagai kluster Sivagangga.

Khairuddin pula dilaporkan menghadiri pelbagai acara dan menemui ramai individu sebaik pulang dari Turki, termasuk menghadiri sidang Parlimen dan acara di Istana Negara bersama Yang di-Pertuan Agong.  – 23 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen