Terima kasih pembelot Umno atas kejatuhan Pakatan, kata Takiyuddin


Chan Kok Leong

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mengulas mengenai kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada Februari lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Ogos, 2020.

PAS tidak akan menggulingkan kerajaan Pakatan Harapan jika bukan disebabkan ahli Parlimen Umno membelot ke Bersatu selepas pilihan raya umum (PRU), kata Takiyuddin Hassan.

“Apabila beberapa ahli Parlimen yang menang atas tiket Barisan Nasional (BN), menyertai Bersatu, PAS melihat langkah itu bukan perkara yang bagus untuk BN.

“Tetapi selepas melihat perkara yang berlaku, PAS merasakan langkah itu walaupun bukannya baik, mempunyai agenda tersendiri,” kata setiausaha agung PAS itu dalam satu ceramah di Felda Trolak Utara malam tadi.

“Dan jika ahli Parlimen ini yang meninggalkan Umno untuk menyertai Bersatu, tidak membawa parti (Bersatu) keluar Pakatan kemudiannya, kita tidak mungkin menjatuhkan kerajaan,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) itu.

Takiyuddin bercakap ketika sesi ceramah ‘5 setiausaha agung’ semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Slim malam tadi.

Bersama beliau adalah  Annuar Musa (Barisan Nasional), Hamzah Zainuddin (Bersatu), Chong Sin Woon (MCA) and M Asojan (MIC).

Susulan keputusan PRU14 pada 2018, seramai 15 ahli Parlimen Umno termasuk Hamzah membelot untuk menyertai Bersatu.

Kumpulan ini kemudiannya disertai kem PKR yang setia kepada bekas timbalan presiden Mohamed Azmin Ali yang kini merupakan Menteri Kanan di bawah kerajaan Perikatan Nasional.

Hamzah, yang berkata beliau dijemput ke Bersatu oleh Dr Mahathir Mohamad, kemudiannya memain peranan penting mengeluarkan parti itu dari Pakatan, menyebabkan gabungan itu tumbang selepas hanya 22 bulan berkuasa.

Sesi ceramah '5 setiausaha agung' PRK Slim dihadiri (dari kiri) Chong Sin Woon dari MCA, Hamzah Zainuddin (Bersatu),  Annuar Musa (Barisan Nasional),  Chong Sin Woon (MCA), Takiyuddin Hassan (PAS) dan M Asojan (MIC). – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain., 23 Ogos, 2020.

Takiyuddin berkata PAS mengambil keputusan untuk bekerjasama dengan Umno di bawah Penyatuan Ummah pada 14 September 2019 selepas BN kalah PRU14.

Beliau berkata kerjasama ini dilakukan bagi menyelamatkan Malaysia dari Pakatan walaupun sudah puluhan tahun PAS tidak sehaluan dengan Umno.

“Tetapi apa yang kita tahu lima bulan kemudian, kita mampu menumbangkan Pakatan yang sudah memerintah selama 22 bulan,” kata Ahli Parlimen Kota Bharu itu.

Beliau berkata Muafakat Nasional merupakan formula untuk BN dan PAS mendapat kuasa demi nasib masyarakat Melayu Islam.

“Dan sebab itu, saya mengarahkan semua pengundi PAS di sini untuk mengundi calon BN Mohd Zaidi Aziz yang mewakili kita pada 29 Ogos ini,” kata Takiyuddin.

Takiyuddin menegaskan PAS bukan parti perkauman walaupun PAS berpisah daripada Pakatan Rakyat pada 2015 kerana tidak sehaluan dengan DAP dalam isu hudud.

“Kita di sini bersama MCA dan MIC,” katanya.

“Kita tidak mahu mereka yang bersikap ekstrem. Kita hanya bekerjasama dengan mereka yang berfikiran rasional,” kata Takiyuddin. – 23 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen