Langgar SOP Covid-19, pesuruhjaya EU didesak ‘pertimbang kedudukan’


Phil Hogan hadir majlis Persatuan Golf Parlimen yang melanggar SOP cegah Covid-19 dikeluarkan kerajaan, beberapa menteri dan pemimpin kanan Ireland sudah meletak jawatan kerana skandal itu. – Gambar AFP, 23 Ogos, 2020.

PERDANA Menteri Ireland Michael Martin mendesak Pesuruhjaya Perdagangan EU Phil Hogan untuk “mempertimbangkan kedudukannya” semalam, selepas terbongkar beliau hadir majlis golf ahli Parlimen yang melanggar garis panduan cegah Covid-19.

Martin dan Timbalan Perdana Menteri Leo Varadkar- ketua Fine Gael, parti yang pernah diwakili Hogan- “ada bercakap dengan Pesuruhjaya Hogan hari ini dan memintanya mempertimbangkan kedudukannya,” kata jurucakap kerajaan.

Hogan dinamakan akhbar Irish Examiner sebagai salah seorang daripada 82 orang yang hadir majlis makan malam Persatuan Golf Parlimen pada malam Rabu.

Majlis itu diadakan 24 jam selepas kerajaan mengumumkan sekatan terbaru cegah Covid-19 untuk mengekang lonjakan kes, termasuklah “tiada parti atau majlis rasmi atau tidak rasmi” di hotel atau restoran.

Dilaporkan yang hadirin duduk di meja seramai 10 orang, melanggar garis panduan Covid-19, dan penganjur meletakkan sekatan dalam ruang dewan untuk mengelak arahan sekatan himpunan lebih 50 orang.

Tetapi, polis pada Jumaat berkata mereka sudah membuka kertas siasatan ke atas majlis atas tuduha melanggar peraturan cegah wabak.

Menteri Pertanian Dara Callerary dan Timbalan Pengerusi Dewan Tinggi Parlimen Jerry Buttimer kedua-duanya meletak jawatan pada Jumaat kerana hadir majlis itu.

Hogan pada mulanya beliau diberi jaminan yang majlis itu- dihadiri wakil rakyat, hakim mahkamah tinggi dan duta Moroco- akan patuh kepada garis panduan kerajaan.

Beliau kemudian membuat permohonan maaf kerana “mencetuskan ketegangan dengan kehadirannya”, menurut saluran TV negara RTE.

Jurucakap Martin berkata: “Permohonan maaf pesuruhjaya terlalu lewat dan beliau masih perlu dipertanggungjawabkan dan menjelaskan tindakannya.”

Martin dan Varadkar “kedua-duanya percaya majlis itu sepatutnya tidak diadakan,” tambahnya.

Desakan supaya Parlimen Ireland dipanggil bersidang minggu depan untuk membincangkan hal itu semakin kuat kedengaran.

Pemimpin Parti Buruh Alan Kelly berkata: “Terlalu banyak isu serius perlu dibincangkan dan kita perlu kembalikan keyakinan rakyat.” – AFP, 23 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen