PEMBANGKANG meningkatkan tekanan agar menteri PAS Khairuddin Aman Razali meletak jawatan dan dikenakan tindakan lebih keras kerana melanggar perintah kuarantin wajib.
Ia bagi menunjukkan teladan lebih baik memandangkan rakyat tidak berpuas hati dengan hukuman denda RM1,000 yang dikenakan ke atas ahli Parlimen Kuala Nerus itu.
Tuntutan itu antaranya disuarakan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang hairan kerana Khairuddin hanya dikenakan denda dan tidak perlu dihadap ke mahkamah.
Lebih aneh, jumlah denda ke atas Khairuddin juga lebih rendah berbanding kos kuarantin yang perlu ditanggung pengembara, kata Syed Saddiq yang memulakan topik #kitajagamenteri di Twitter.
“Menteri pula didenda hanya RM1,000. Menteri tak dihadapkan ke mahkamah seperti yang lain.
“Kos kuarantin 14 hari lebih mahal dari denda RM1,000 menteri. Tak masuk akal,” kata bekas menteri belia dan sukan itu.
Topik #kitajagamenteri merupakan antara isu paling hangat dibincang pengguna media sosial hari ini yang rata-rata tidak berpuas hati dengan hukuman rendah tersebut.
Turut mempersoalkan tindakan itu ahli Parlimen DAP Teresa Kok yang mempersoalkan sekiranya tindakan ke atas Khairuddin itu dibuat atas paksaan pihak atasan.
Jelasnya, baru hari ini Kementerian Kesihatan memaklumkan bahawa Khairuddin sudahpun menjelaskan kompaun tersebut pada 7 Ogos.
Malah Khairuddin juga sepatutnya menjelaskan bahawa kompaun itu sudah dibayar sewaktu isu berkenaan mula dibangkitkan beberapa hari lalu, kata Kok.
“Jelas kenyataan Kementerian Kesihatan hari ini dan kompaun RM1,000 kepada menteri pada 7 Ogos dibuat atas arahan ataupun paksaan pihak atasan, sama ada Kabinet ataupun MKN (Majlis Keselamatan Negara),” katanya.
Jelasnya ia bertentangan kenyataan Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakon pada 13 Ogos mengenai tindakan keras ke atas individu yang melanggar perintah kuarantin.
“... Beliau berkata sesiapa yang sengaja ingkar perintah kuarantin, tidak lagi dikenakan kompaun tetapi akan terus dihadapkan ke mahkamah.
“Persoalannya ialah kenapakah semua pesalah dihadap ke mahkamah, tetapi menteri Kabinet ini diberi layanan istimewa dengan penjelasan kompaun RM1,000 (dengan tarikh diawalkan)?”
Arahan kuarantin itu diwajibkan ke atas setiap pengembara yang masuk ke Malaysia dan warga yang pulang dari luar negara bagi membendung Covid-19.
Para wakil rakyat seperti Adun Kota Anggerik Najwan Halimi dan Adun Ketari Young Syefura pula menuntut agar Khairuddin meletak jawatan secara terhormat.
Selain marah dengan tindakan Khairuddin itu, kalangan pengguna media sosial juga menyatakan rasa sangsi dengan keupayaan PAS menegakkan undang-undang, terutama hukum hudud.
“Melingkup kalau buat hudud. Marhaen kena potong tangan, menteri kena potong kuku,” kata pengguna Twitter @bumilangit.
Pengguna lain juga percaya hukuman denda itu sengaja ditetapkan pada kadar rendah RM1,000 untuk mengelakkan Khairuddin hilang kelayakan sebagai wakil rakyat. – 22 Ogos, 2020.
Komen