Warga asing dikuarantin di Subang Jaya, amaran Covid-19 diumum


Ragananthini Vethasalam

Majikan warga asing tersebut mengambil inisiatif untuk mengkuarantin pekerjanya itu di sebuah hotel di Subang Jaya, sementara menunggu keputusan ujian Covid-19 dalam saringan di tempat kerja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Ogos, 2020.

AMARAN Covid-19 diumumkan di Subang Jaya, Selangor menerusi aplikasi MySejahtera selepas warga asing dikuarantin buat sementara waktu di sebuah hotel di sana, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Noor Hisham berkata, majikan warga asing tersebut mengambil inisiatif untuk mengkuarantin pekerjanya itu di sebuah hotel di Subang Jaya, sementara menunggu keputusan ujian Covid-19 dalam saringan di tempat kerja.

Alamat yang didaftarkan di aplikasi tersebut adalah sebuah hotel di Subang Jaya.

“Setelah keputusan ujian Covid-19 keluar, alamat pendaftaran ditukar menjadi Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, iaitu tempat tinggalnya sebelum dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh,” katanya.

Beliau berkata, perubahan alamat itu penting untuk melakukan pengesanan kes aktif di kawasan kediaman orang itu di Bandar Tun Hussein Onn.

“Lokasi tersebut telah dikemaskini dalam aplikasi MySejahtera sebagai alamat kes,” jelasnya.

Beliau menjawab pertanyaan ahli Parlimen Subang Jaya, Michelle Ng mengenai maklumat bertentangan daripada polis dan aplikasi MySejahtera mengenai kononnya kes Covid-19 dikesan berhampiran Galeri Beli-Belah Empire, Subang Parade dan Mydin USJ.

Dr Noor Hisham menyampaikan penghargaan kepada orang ramai kerana menggunakan aplikasi MySejahtera dan atas kerjasama mereka dalam melaporkan sebarang masalah yang berkaitan dengan Covid-19 kepada kementerian.

Beliau juga menasihati orang ramai untuk hanya berkongsi maklumat yang disahkan dan tidak menimbulkan rasa panik di kalangan rakyat. – 22 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen