MALAYSIA hari ini mencatatkan lapan kes baharu Covid-19, lima daripadanya memiliki kaitan dengan kluster Tawar, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Kes-kes baharu itu menjadikan jumlah jangkitan di seluruh negara mencecah angka 9,257 orang.
Lima kes itu juga menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan dari kluster yang berasal dari Kedah, menjadi 63 orang.
Setakat ini, 2,942 orang telah disaring di tiga negeri - Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
Kes indeks kluster itu adalah seorang peniaga yang menghadiri upacara peringatan selama dua hari di Tawar, Kedah pada 31 Julai.
Sementara itu, baki tiga dari lapan kes yang dilaporkan adalah kes import.
Empat pesakit dibenarkan pulang dalam tempoh 24 jam setelah pulih daripada Covid-19.
Jumlah kes pulih daripada Covid-19 kini berjumlah 8,949 sementara kes aktif adalah sebanyak 183 kes.
Tidak ada kematian dilaporkan hari ini, menjadikan angka kematian masih pada angka 125.
Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan berkata bahawa lapan pesakit kini ditempatkan di unit rawatan rapi dengan empat daripada mereka memerlukan bantuan pernafasan. – 22 Ogos, 2020.
Komen