KUMPULAN penyokong Mohamed Azmin Ali hari ini menyerahkan borang keahlian untuk menyertai Bersatu secara rasmi di acara dihadiri presiden parti tersebut, Muhyiddin Yassin.
Borang keahlian itu diserahkan secara rasmi oleh bekas pemimpin PKR itu kepada Setiausaha Kerja Bersatu di atas pentas semasa perhimpunan Kongres Negara 2020 di ibu negara.
Borang itu diserahkannya selepas ucapan yang mengikrarkan kesetiaaan kepada Muhyiddin.
“Dengan rasa penuh ikhlas dan tulus, saya dan ketumbukan dari Perlis sampai Sabah, sama ada Penggerak Komuniti Negara, Nation of Women, Pemuda Negara dan Wanita Muda Negara dengan ini kami isytiharkan untuk menyertai Bersatu.
“Dan kami menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri Malaysia, sekarang adalah masanya untuk Bersatu, Bersatu demi negara, Bersatu untuk Malaysia,” kata Azmin.
Penyertaan itu kemudiannya diterima serta merta oleh Bersatu, dan kad keahlian diserahkan oleh Muhyiddin kepada Azmin.
Seramai 10 lagi ahli Parlimen penyokong Azmin yang menyerahkan borang itu ialah para menteri Kabinet Zuraida Kamaruddin (Ampang) dan Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota).
Mereka yang lain termasuklah Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Mansor Othman (Nibong Tebal), Rashid Hasnon (Batu Pahat), Ali Biju (Saratok) dan Willie Mongin (Puncak Borneo).
Ahli Parlimen Segamat, Santhara Kumar telah mengumumkan menyertai parti itu selepas menyerahkan borang pada awal bulan ini.
Sebelum pengumuman itu dilakukan, bendera Bersatu turut diedarkan kepada ribuan perwakilan kongres yang hadir. – 22 Ogos, 2020.
Komen