BERSATU akan mempunyai bilangan ahli Parlimen paling ramai dengan penyertaan bekas pemimpin PKR, kata bekas naib presiden parti tersebut Zuraida Kamaruddin.
Ahli Parlimen Ampang itu berkata, kumpulan diketuai Mohamed Azmin Ali itu akan menjadi kekuatan kepada Bersatu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.
“Hari ini kita harus pilih satu wadah politik untuk masuk ke gelanggang membantu parti Bersatu agar Bersatu menjadi parti dengan komponen ahli Parlimen terbesar.
“Dengan adanya bangsa Cina, India Melayu, Iban, dan Kadazan ini peluang Bersatu tambah kerusi ahli Parlimen pada pilihan raya umum akan datang. Ini akan menjadi kekuatan pada kita,” kata Zuraida.
Beliau berkata demikian dalam Kongres Negara 2020 yang menghimpun para pengikut Azmin di Kuala Lumpur bersama perdana menteri yang juga presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.
Seramai 11 ahli Parlimen bekas PKR yang bersama Azmin dijangka menyertai Bersatu secara rasmi petang ini dalam kongres tersebut.
Zuraida, yang juga menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu juga berkata, kumpulan berkenaan memututskan untuk menyertai Bersatu demi menjaga kesepakatan dengan parti tersebut.
Mereka pada asalnya berhasrat membentuk platform baharu namun atas muafakat bersama ia tidak direalisasikan, katanya.
“Kita ada dalam landasan yang betul. Kita amat bersemangat untuk adakan satu platform baru.
“Namun atas muafaat, kesepakatan kita semua bersetuju bersama Bersatu termasuk mereka yang bukan Melayu,” katanya.
Zuraida juga berharap Azmin diberikan tempat dan kedudukan dalam Bersatu dengan penyertaan mereka.
Bendera Bersatu turut diedarkan kepada perwakilan dalam program tersebut. – 22 Ogos, 2020.
Komen