Layakkah Khairuddin jadi menteri, soal Guan Eng


Keangkuhan dan keengganan Khairuddin untuk mengakui kesalahan jelas tidak boleh diterima, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Ogos, 2020.

LIM Guan Eng mempersoalkan apakah Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali layak menjadi menteri selepas melanggar perintah kuarantin wajib selepas pulang dari Turki bulan lalu.

Setiausaha agung DAP itu juga berkata menteri dari PAS itu angkuh dan tidak bertanggungjawab.

“Khairuddin bukan sahaja enggan mengaku salah malah tindakan beliau yang mengelak dan menolak tanggungjawab kepada Kementerian Kesihatan menunjukkan sifat angkuh dan tidak bertanggungjawab. 

“Malah beliau memberi alasan dengan menyatakan bahawa, hakikat beliau telah dibenarkan masuk ke istana pada 17 Ogos menjadi bukti beliau telah diuji negatif untuk Covid-19,” kata ahli Parlimen Bagan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Seputeh Terasa Kok sebelum ini mendakwa Khairuddin telah menghadiri lebih 12 program dan mesyuarat selepas pulang dari Turki pada 7 Julai.

Lim turut membandingkan Khairuddin dengan Menteri Pertanian Ireland Dara Calleary yang meletak jawatan semalam kerana ingkar protokol keselamatan Covid-19. 

Calleary letak jawatan dua hari selepas beliau menghadiri majlis makan malam kelab golf Parlimen Ireland pada 19 Ogos.

“Berbeza dengan Ireland apabila menterinya meletak jawatan dua hari selepas melanggar protokol keselamatan Covid-19, keangkuhan dan keengganan Khairuddin untuk mengakui kesalahan beliau setelah 6 minggu jelas tidak boleh diterima dan bertentangan dengan kepentingan rakyat.

“Kini soalnya bukan lagi tentang hukuman terhadap Khairuddin atas salah lakunya semata-mata, malah adakah beliau layak menjadi menteri dalam kerajaan Baginda Yang Di-Pertuan Agong,” kata Lim.

Tambah beliau, Khairuddin sepatutnya mencontohi Yang di-Pertuan Agong menjalani kuarantin kendiri selepas kakitangan Istana Negara diuji positif Covid-19.

“Jika Baginda Yang di-Pertuan Agong yang mempunyai imuniti undang-undang boleh mengikuti protokol keselamatan tersebut, mengapa tidak Khairuddin? 
“Adakah Khairuddin berasa beliau mempunyai status istimewa?,” soalnya.

Bekas menteri kewangan itu berkata hasil ujian saringan Khairuddin tidak menjadi isu utama, sebaliknya penguatkuasaan undang-undang yang berat sebelah.

“Khairuddin masih gagal memahami bahawa keputusan ujian negatif beliau bukanlah isu utama. Jika hasil ujian positif pastilah beliau sudah berada di hospital dan tidak akan ada masalah selanjutnya.

“Isunya ialah mengapa beliau dan keluarga tidak dikenakan arahan kuarantin 14 hari. Ini jelas suatu tindakan penguatkuasaan undang-undang pilih kasih di mana menteri bebas, sedangkan rakyat biasa ditahan, digari dan didenda,” tambah Lim.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu The Malaysian Insight, KKM kini sedang menyiasat dakwaan Khairuddin ingkar perintah kuarantin wajib.

Mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara, seseorang yang baru pulang dari luar negara dikehendaki menjalani kuarantin wajib selama 14 hari. Individu akan disaring sebaik tiba di pintu masuk antarabangsa negara, dan ujian kali kedua selepas 14 hari.

Khairuddin mendakwa beliau menjalani tiga kali ujian Covid-19, iaitu sebaik tiba dari Turki pada 7 Julai. Kali ketiga dijalaninya baru-baru ini, sebelum menghadiri majlis di Istana Negara pada 17 Ogos. – 22 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen