Ahli Parlimen Bintulu gesa tukar pegawai kesihatan bersikap leka


Desmond Davidson

Ahli Parlimen Bintulu Tiong King Sing berkata pegawai itu gagal melaporkan insiden itu kepada Pegawai Daerah yang merupakan pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bintulu. – Gambar Facebook, 22 Ogos, 2020.

TIONG King Sing mahu seorang pegawai kanan Jabatan Kesihatan Bintulu dipindahkan serta-merta ekoran cara penjawat awam itu mengendalikan kes Covid-19 melibatkan krew kapal tangki Seri Alam.

Ahli Parlimen Bintulu itu mendakwa pegawai itu bersikap acuh tidak acuh terhadap penularan wabak dalam kalangan krew kapal tersebut yang berlabuh di Pelabuhan Bintulu pada Selasa lalu.

Tiong juga berkata pegawai itu gagal melaporkan insiden itu kepada Pegawai Daerah yang merupakan pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bintulu.

Katanya kegagalan berbuat demikian menyebabkan pihak jawatankuasa tidak dimaklumkan tentang insiden tersebut.

“Menurut pemahaman saya, pihak jawatankuasa tidak tahu tentang penularan itu,” katanya tanpa menamakan pegawai kesihatan terbabit.

Kapal tangki itu belayar dari pelabuhan Toyama Shinko di Jepun pada 1 Ogos selepas berhenti di negara itu selama lima hari.

Kapal itu juga berlabuh di Labuan pada 10 Ogos sebelum tiba di Bintulu dengan lima krew disahkan positif Covid-19.

Siasatan awal mendapati seorang krew yang naik di pelabuhan Toyama Shinko mungkin pembawa wabak itu di dalam kapal tersebut. – 22 Ogos, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen