SEJUMLAH 340,395 permohonan pembantu rumah asing dibuat kepada Jabatan Imigresen dari Januari hingga Mei, lapor New Straits Times hari ini.
Laporan itu memetik Persatuan Pakar Kesihatan Awam Malaysia (PPP-KAM) yang berkata pembantu rumah asing perlu dibenarkan masuk ke negara ini kerana Singapura, Hong Kong dan Taiwan sudah mula melakukannya.
Kumpulan itu bersama Agensi Pekerjaan Innovedge Sdn Bhd mencadangkan prosedur operasi standard (SOP) untuk memudahkan pengembalian pembantu asing ke negara ini.
Presiden PPP-KAM Zainal Ariffin Omar berkata walaupun penting melindungi nyawa, kerajaan harus mempertimbangkan kehidupan mereka dari sektor ini.
Beliau menambah yang koronavirus akan terus wujud untuk beberapa waktu lagi, oleh itu penting bagi kerajaan mempertimbangkan cadangan itu kerana terdapat isi rumah yang memerlukan pembantu rumah.
Usul tersebut dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Nasional, Kementerian Kesihatan dan Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob.
Pengisytiharan oleh majikan, pra ujian untuk Covid-19, persetujuan oleh kedutaan besar Malaysia di negara asal, dan kos kuarantin yang ditanggung oleh majikan atau agensi swasta adalah antara cadangan SOP.
Zainal berkata, agensi pembantu rumah swasta akan melapor terus kepada Kementerian Kesihatan dan hanya akan mengatur ujian Fomema kepada pembantu rumah yang negatif Covid-19 pada hari terakhir kuarantin.
Mereka yang diuji positif koronavirus perlu terus menjalani rawatan.
Katanya, SOP itu akan dapat meminimumkan risiko jangkitan kepada keluarga yang mendapatkan pembantu rumah.
Beliau berkata kebenaran kemasukan pembantu rumah asing adalah penting untuk pemulihan sosio-ekonomi keluarga.
Agensi pekerjaan mendapati mereka sukar membuat pengambilan pekerja berikutan keputusan Putrajaya membekukan pengambilan pekerja asing baru sehingga akhir tahun ini.
Agensi tidak akan dapat menggantikan pembantu rumah yang tamat tempoh permit akibat pengumuman oleh Menteri Sumber Manusia M. Saravanan, yang berkata langkah itu adalah untuk meningkatkan peluang pekerjaan di kalangan rakyat Malaysia. – 22 Ogos, 2020.
Komen