WHO jangka pandemik Covid-19 berakhir dalam tempoh 2 tahun 


Ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata situasi pandemik Covid-19 lebih baik berbanding pandemik selesema yang terkenal pada 1918. – Gambar EPA, 22 Ogos, 2020.

DUNIA diramal mampu mengawal pandemik koronavirus dalam tempoh kurang dua tahun, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Jumaat, ketika negara Eropah bergelut dengan peningkatan jumlah kes baharu.

Eropah Barat mengalami tahap jangkitan yang lama tidak dilihat dalam beberapa bulan, terutama di Jerman, Perancis, Sepanyol dan Itali - mencetuskan kebimbangan gelombang kedua.

Di ibu negara Sepanyol, Madrid, para pegawai mengesyorkan agar penduduk di kawasan paling terjejas tidak keluar rumah untuk membantu membendung penyebaran ketika negara tersebut mencatatkan lebih 8,000 kes baharu dalam tempoh 24 jam.

Perancis juga melaporkan hari kedua berturut-turut lebih 4,000 kes baharu - jumlah yang tidak dilihat sejak Mei - dengan kawasan metropolitan menyumbang sebahagian besar jangkitan tersebut.

Tetapi Ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus membuat perbandingan yang keadaan lebih baik berbanding pandemik selesema yang terkenal pada 1918.

“Kita mempunyai kelemahan globalisasi, kedekatan, keterhubungan, tetapi kelebihan teknologi yang lebih baik, jadi kita berharap dapat menamatkan wabak ini kurang daripada dua tahun,” katanya kepada wartawan.

Dengan “memanfaatkan kelengkapan yang ada secara maksimum dan berharap kita dapat memiliki kelengkapan tambahan seperti vaksin, saya rasa kita dapat menamatkannya dalam waktu yang lebih singkat berbanding selesema 1918”, katanya.

WHO juga mengesyorkan kanak-kanak berumur lebih 12 tahun menggunakan pelitup muka sebagaimana orang dewasa kerana penggunaannya mampu menghentikan penyebaran virus.

Tanpa vaksin yang dapat digunakan, cara paling berkesan yang dimiliki kerajaan adalah dengan membataskan penduduk atau menguatkuasakan penjarakan sosial.

Lubnan adalah negara terbaru yang memperkenalkan semula sekatan ketat, memulakan tempoh dua minggu pada Jumaat termasuk perintah berkurung pada waktu malam bagi mengurangkan kenaikan jangkitan.

Amerika menyumbang lebih dari separuh kematian di dunia.

“Kami mendahului dunia dalam kematian,” kata Joe Biden ketika menerima pencalonan Demokrat untuk pilihan raya presiden AS pada Khamis.

Beliau berkata akan melaksanakan rancangan nasional untuk memerangi wabak itu pada hari pertamanya di pejabat jika dipilih pada November. – AFP, 22 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen