WAKIL rakyat pembangkang Sarawak See Chee How mempersoalkan tindakan kerajaan negeri melantik seorang tokoh korporat yang ada hubungan dengan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu sebagai ahli lembaga pengarah Petroliam Nasional Berhad (Petronas).
Adun Batu Lintang dari Parti Sarawak Bersatu itu berkata wakil negeri dalam lembaga Petronas sering dibangkit dan menjadi perdebatan hangat dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
Susulan itu, pelantikan tokoh korporat Ibrahim Baki perlulah dirujuk kepada DUN, katanya.
“Kerajaan negeri perlu menjelaskan sama ada ia dirujuk dan mencadangkan pelantikan Ibrahim Baki sebagai ahli lembaga pengarah Petronas.
“Jika kerajaan negeri dirujuk dan terlibat dalam pelantikan tersebut, saya berharap Kabinet negeri sedar bahawa pelantikan mestilah dibuat atas pemilihan teliti ke atas calon.
“Mana-mana wakil rakyat Sarawak dalam lembaga Petronas perlulah dibuat dengan bijak. Perwakilannya mestilah sejajar dengan tujuan untuk memajukan dan melindungi kepentingan, hak dan kedudukan Sarawak berhubung kedaulatan, serta autonomi dan kawalan negeri ke atas sumber petroleum di wilayah kita,” katanya.
Menurut See, kerajaan negeri perlu mengambil perhatian langkah Putrajaya melantik seorang bekas hakim besar Malaya sebagai ahli lembaga pengarah Petronas.
“Tanpa ragu-ragu lagi, ia satu pelantikan strategik memandangkan pertikaian undang-undang antara Sarawak, Putrajaya dan Petronas masih berjalan.”
See baru-baru ini meletak jawatan dari Jawatankuasa Rundingan MA63 sebagai protes terhadap kerajaan negeri yang melangkaui jawatankuasa itu dalam rundingan dengan Petronas dan Putrajaya berhubung penyelesaian cukai jualan negeri dan hal lain.
See juga berkata pelantikan Ibrahim mengemudi syarikat-syarikat yang “memberi perkhidmatan kepada Petronas”.
“Pelantikan beliau sudah tentu menimbulkan tanda tanya rakyat Sarawak.
“Bagi memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban, saya menggesa kerajaan negeri membenarkan DUN membahas dan memutuskan pelantikan tersebut,” katanya. – 21 Ogos, 2020.
Komen